Advert Board

Thursday, December 18, 2008

Perkara Penting Sebelum Anda...

"Pendapatan bulanan saya adalah sebanyak RM5000, tetapi saya masih bergelut dengan hutang."


"Pada awal bulan, saya akan menyimpan sebanyak RM500 di dalam ASB. Tetapi menjelang hujung bulan, saya terpaksa mengeluarkan sebanyak Rm400 untuk membiayai perbelanjaan bulanan saya."


"Saya fikir, dengan mempunyai pendapatan sampingan hasil jualan kad isian semula telefon bimbit sebanyak RM200 pada setiap bulan, saya mampu menyimpan sekurang-kurangnya Rm150 setiap bulan. Tetapi rupa-rupanya untuk menyimpan RM10 pun sukar."


Sebelum anda berniaga atau mencari pendapatan sampingan, anda perlu menguasai kemahiran menguruskan kewangan dahulu. Mengapa? Kerana adalah tidak berguna untuk mempunyai pendapatan yang tinggi sekiranya anda tidak mampu menguruskannya dengan baik.

Gelodak nafsu untuk berbelanja akan meningkat secara berkadar langsung dengan kenaikan pendapatan anda. Jadi, sekiranya anda tidak mampu mengawal nafsu anda, lebih baik anda membetulkan dahulu sikap anda ataupun anda akan gagal memanfaatkan sepenuhnya kenaikan pendapatan tersebut.

Menguruskan kewangan bukan bermaksud bertukar menjadi kedekut atau boros, tetapi mengawal setiap keluar/masuk wang anda untuk mendapatkan manfaat atau hasil yang optimum.

Wang anda pilihan anda, tetapi pilihan yang kurang bijak akan merugikan anda, dan juga orang lain yang terpaksa membantu anda yang sedang dalam kesusahan :)

Ini hanyalah pesanan khidmat masyarakat. Saya tidak mampu menasihatkan anda secara peribadi, tetapi rajin-rajin lah belek blog ini untuk mencari secebis ilmu untuk menguruskan kewangan anda. Perbincangan juga amat digalakkan, sila tinggalkan komen anda, terima kasih :D

Dividen dan Bonus (loyalty bonus) ASB Bagi Tahun 2008

Permodalan Nasional Berhad (PNB) sudah mengumumkan nilai agihan dividen dan bonus bagi tahun kewangan 2008.

Dividen = 7 sen atau 7%

Bonus (Loyalty Bonus) = 1.75 sen atau 1.75%

Wednesday, December 17, 2008

Kenapa Membazir?

Kadang-kadang, hujung bulan adalah waktu yang paling menyeksakan, walaupun kita mampu makan di restoran 5 bintang pada awal bulan (selepas gaji).


Kadang-kadang, kita tertanya-tanya ke mana hilangnya duit kita selepas membeli TV LCD 60" yang berharga RM20000.


Kadang-kadang, kita tidak mampu untuk memberikan walaupun RM50 untuk mak ayah di kampung, walaupun kita bergaji RM5000 sebulan.


Membazir

Saya mentakrifkan membazir apabila memenuhi salah satu kriteria di bawah (pendapat peribadi):
a. Kerap.
b. Berlebihan.
c. Sesuatu yang tidak diperlukan.
d. Melebihi bajet.
e. Melebihi kemampuan.
f. Untuk menunjuk-nunjuk.

Bukan membazir

Saya mentakrifkan kriteria-kriteria di bawah sebagai bukan membazir (pendapat peribadi):
a. Terkawal.
b. Berhemah.
c. Keperluan.
d. Tidak melebihi bajet.
e. Berkemampuan.
f. Sedekah/menderma/zakat.
g. Memberi wang bulanan kepada ibu bapa atau adik-beradik yang sedang belajar.

Perkara-Perkara Berkaitan

Semua aktiviti di dalam kehidupan seharian kita boleh bertukar menjadi membazir atau sebaliknya apabila memenuhi mana-mana kriteria di atas, sama ada untuk tujuan hiburan, ilmu, makanan, tempat tingal atau perlindungan. Anda sendiri yang menentukan hala tuju perbelanjaan anda; ke arah pembaziran atau tidak.

Tujuan Membazir

Saya tidak nampak sebarang faedah membazir. Setiap sen yang dibazirkan itu boleh disalurkan ke saluran yang lebih bagus seperti bersedekah atau menderma kepada yang memerlukan atau pun disimpan sebagai simpanan kecemasan. Terdapat 1001 faedah apabila kita dapat mengelakkan pembaziran. Jadi, kenapa membazir?

Monday, December 15, 2008

Malaysia, Demam, Raya Eidul Adha, Buntu

Malaysia

Alhamdulillah saya sudah berada di bumi Malaysia sejak 27 November 08. Saya berasa sangat gembira dan bersyukur dapat bersama keluarga semula setelah 3 bulan berjauhan :)

Demam

Ujian dari Allah SWT melanda saya lagi. Saya menghidapi demam, batuk dan selsema. Semoga Allah sentiasa memberkati saya dengan ujian-ujian dari-Nya, Amin ya Allah.

Hari Raya Eidul Adha

Alhamdulillah saya dapat menyambut hari raya Eidul Adha bersama keluarga, pertama kali bersama isteri dan keluarga mertua; tetapi tetap gembira meraikannya bersama ibu dan adik beradik tercinta.

Buntu

Blog ini terencat untuk hampir 3 minggu. Kebuntuan melanda di samping keadaan kesihatan yang menyukarkan saya untuk berfikir dan menulis. Alhamdulillah bisnes kecil-kecilan saya di blog ini berjalan dengan lancar. Rezeki yang Allah kurniakan, Alhamdulillah. Semoga Allah sentiasa memberkati saya dan keluarga tercinta, Amin ya Allah :)

Friday, November 14, 2008

Pengurusan Kewangan

Matlamat kewangan saya adalah untuk mencapai kebebasan kewangan. Saya mempunyai pelbagai sebab untuk mencapai matlamat tersebut termasuklah kerana Ketenangan, ingin menumpukan perhatian kepada keluarga, dan sebagainya.

Di atara perkara penting yang perlu saya lakukan ntuk mencapai kebebasan kewangan termasuklah pengurusan kewangan. Jika saya gagal mengurus kewangan saya dengan baik, maka saya telah berada di landasan yang betul untuk gagal. Sebaliknya, jika saya berjaya mengurus kewangan saya dengan baik, insyaAllah saya akan berada di landasan yang betul untuk mencapai kebebasan kewangan.

Pengurusan Kewangan Peribadi

Saya masih lagi belajar cara-cara menguruskan kewangan sendiri (dan keluarga). Sambil belajar, saya mempraktikkan mana-mana cara yang sesuai dan (mudah) untuk saya. Setakat ini, saya mempunyai pelan matlamat kewangan untuk merancang, dan bajet peribadi harian untuk memantau perbelanjaan saya, di samping mempunyai pelaburan di dalam ASB (salah satu cara untuk menjana pendapatan), dan mengamalkan konsep beringat sebelum habis (bahasa mudahnya berjimat cermat).

Pelan Matlamat Kewangan

Saya menggunakan pelan ini untuk merancang, menjangka dan juga sebagai peringatan kepada saya tentang perkara-perkara yang perlu dilakukan pada masa hadapan dan melibatkan perbelanjaan yang besar. Saya menggunakan perisian Microsoft© Excel untuk pelan saya ini kerana ia memudahkan dan menjimatkan kertas (Sumber rujukan : Website Pelabur Malaysia). Pelan saya ini terbahagi kepada 4 iaitu:-

a) matlamat jangka pendek (untuk tempoh 1 tahun)
b) matlamat jangka sederhana (untuk tempoh 1-3 tahun)
c) matlamat jangka panjang (untuk tempoh 3-5 tahun)
d) matlamat jangka lama (untuk tempoh melebihi 5 tahun).

Di dalam pelan ini, saya memasukkan matlamat kewangan saya, tarikh sasaran, anggaran kos, jumlah (wang yang telah) disimpan dan punca pendapatan (untuk membiayai matlamat kewangan). Apa-apa matlamat yang ingin dicapai, saya akan masukkannya bersama-sama butir-butiran secara kasar (sebelum berbincang dengan isteri saya) :)

Berikut ialah gambaran pelan matlamat kewangan yang saya gunakan,



Nota kaki: Oleh kerana pelan ini adalah pelan untuk merancang, saya mempunyai kelonggaran untuk menjadikannya fleksibel, terutamanya berkaitan dengan tarikh sasaran dan anggaran kos.

Bajet Peribadi Harian

Untuk memantau perbelanjaan, saya menggunakan perisian bajet peribadi harian (Microsoft© Excel) yang saya olah sendiri (untuk disesuaikan dengan keperluan sendiri) dan juga buku 555 (untuk membantu mencatat perbelanjaan saya sebelum dimasukkan ke perisian bajet peribadi harian). Saya akan mengenal pasti jenis perbelanjaan yang diperlukan pada setiap bulan menjelang tarikh gaji sebelum menetapkan nilai maksimum untuk setiap keperluan. Ini perlu dilakukan untuk menetapkan had perbelanjaan dan memanfaatkan sebaik mungkin konsep berjimat cermat. Fleksibel masih lagi kata kunci yang saya gunakan untuk memastikan saya boleh bertindak balas dengan keadaan semasa bila diperlukan.

Buat masa ini, saya masih dalam proses mendapatkan gambaran yang jelas tentang pola perbelanjaan saya dan keluarga. Untuk setiap sen yang saya keluarkan, saya akan mencatatkannya dengan tepat di dalam buku 555 sebelum saya pindahkan ke dalam perisian bajet peribadi. Ini untuk mengelakkan masalah terlupa dan juga mengurangkan beban otak untuk mengingat setiap maklumat, sekaligus mengurangkan tekanan yang tidak diperlukan.

Berikut ialah gambaran bajet peribadi harian saya,



Saya dapat melihat dengan jelas pola perbelanjaan saya berpandukan angka-angka dan carta yang dihasilkan oleh perisian Microsoft© Excel. Berdasarkan pola perbelanjaan saya, saya dapat memantau dan mengawal perbelanjaan saya supaya menepati bajet yang telah dirancang, seterusnya merancang tindakan berkaitan yang seterusnya.

Amal Konsep Jimat Cermat Dan Sedekah/Zakat

Selain dari mempunyai perancangan dan membuat pemantauan, sikap berjimat cermat perlu dikombinasikan semasa mengatur kewangan harian untuk mendapatkan keputusan optimum. Kebaikan konsep berjimat cermat terlalu banyak dan boleh dikatakan antara pengetahuan umum yang paling diketahui umum. Untuk mendapatkan tips cara-cara berjimat, sila ke pautan ini.

Selain dari saranan dan tuntutan Islam, sedekah dan zakat dapat membersihkan hati kita dan menjadikan kita mempunyai sikap bertolak ansur terhadap orang lain. Sedangkan orang yang bukan Islam seperti Bill Gates (mempunyai badan dan dana khas) pun menderma, inikan pula kita sebagai Muslim yang dijanjikan ganjaran dunia dan akhirat apabila bersedekah. InsyaAllah bersama-samalah kita menyahut tuntutan Islam yang mulia ini.

Kesimpulan

Pengurusan kewangan meliputi pelbagai aspek. Dari merancang, memantau, mengambil tindakan, membuat keputusan, menganalisa hasil tindakan, hinggalah kepada memperbaikinya. Sekiranya gagal dalam menguruskan kewangan dengan baik, sesungguhnya seseorang itu telah berada di landasan yang betul untuk gagal. Sebaliknya, apabila seseorang itu berjaya mengurus kewangannya dengan baik, insyaAllah dia akan berada di landasan yang betul untuk mencapai kebebasan kewangan.

Selain dari perancangan, sikap juga akan mempengaruhi hasil tindakan kita. Tanpa sikap berjimat cermmat adalah agak sukar untuk membantu mencapai kebebasan kewangan walaupun mempunyai pendapatan yang sangat besar. Mengamalkan bersedekah dan berzakat juga mempunyai kesan yang baik terhadap cara kita mengingati kesusahan dan penderitaan orang lain yang sedang diuji dengan kesusahan hidup di dunia yang fana ini.



(Nota tuntutan: Saya tidak mengilhamkan atau memulakan mana-mana idea di atas. saya cuma menyesuaikan maklumat-maklumat yang saya perolehi dari pelbagai sumber dan menterjemahkan sebahagiannya ke dalam perisian Microsoft© Excel dan sebahagian lagi sebagai aplikasi harian.)

Tuesday, November 11, 2008

ASB & Konsep "Compounding"

[edit on 17 Nov 09 : update cara pengiraan dividen ASB]

Saya ingin berkongsi Konsep pengiraan dividen dan bonus ASB. Tetapi ini hanyalah kiraan kasar dan tiada jaminan kiraan ini tepat. Perlu diingat bahawa hanya Perbadanan Nasional Berhad (PNB) sahaja mengetahui kiraan sebenar dividen dan bonus ASB. Walau bagaimanapun, Kiraan kasar ini boleh digunakan untuk membuat simulasi menggunakan perisian Microsoft Excel sebagai panduan persendirian.

Dividen ASB

[edit on 9 Dis 09 : monthly rest, not monthly compounding]

Konsep asas pengiraan dividen ASB ialah konsep "monthly rest" untuk baki terendah dalam setiap bulan. Perlu diingat bahawa pemberian dividen ini hanyalah dilakukan sekali untuk setiap tahun, iaitu pada bulan Januari. Ini bermaksud, nilai dividen yang diumumkan perlu dibahagikan kepada 12 (12 bulan), dan didarab dengan baki terendah bagi setiap bulan (bulan januari hingga disember), sebelum dijumlahkan bermula dari januari hingga disember.

Sebagai contoh, katakan kadar dividen bagi tahun 2009 diumumkan sebanyak 8%, dan berikut ialah nilai pelaburan anda dari Januari 2009 sehingga Disember 2009,

Jan 09, Baki tertinggi: RM5000, Baki terendah: RM4000
Feb 09, Baki tertinggi: RM7000, Baki terendah: RM4500
Mac 09, Baki tertinggi: RM6000, Baki terendah: RM5500
Apr 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Mei 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Jun 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Jul 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Ogo 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Sep 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Okt 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Nov 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Dis 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000

Maka, pengiraan dividen berdasarkan baki terendah setiap bulan (pada kadar dividen 8%) adalah seperti berikut,

[edit 17 Nov 09 : cara pengiraan mengikut penyata ASB 2008]
Dividen ASB
= (jumlah baki terendah setiap bulan)/12*0.08
= (4000+4500+5500+8000+8000+8000+8000+8000+8000+8000+8000+8000)/12*0.08
= RM573.33

[edit 17 Nov 09 : hide]
Jan 09, Baki terendah: RM4000, Dividen=4000*(0.08)/12=26.67
Feb 09, Baki terendah: RM4500, Dividen=4500*(0.08)/12=30.00
Mac 09, Baki terendah: RM5500, Dividen=5500*(0.08)/12=36.67
Apr 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Mei 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Jun 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Jul 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Ogo 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Sep 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Okt 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Nov 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Dis 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33

Dengan itu, jumlah dividen yang diperolehi bagi tahun 2009 ialah RM573.31.


Bonus ASB

ASB juga ada memberikan bonus, yang menggunakan konsep "monthly compounding", tetapi nilai yang diberikan ialah untuk tempoh sepuluh (10) tahun. Ini bermaksud, nilai bonus yang diumumkan perlu dibahagikan dengan 120 (10 tahun mempunyai 120 bulan), dan perlu didarab dengan baki terendah bagi setiap bulan, sebelum dijumlahkan bermula dari januari hingga disember. Pemberian bonus juga dilakukan serentak dengan pemberian dividen iaitu pada bulan Januari setiap tahun.

Mari lihat contoh berikut, katakan kadar dividen bagi tahun 2009 diumumkan sebanyak 1%, dan dengan kadar simpanan yang sama untuk kes dividen ASB sebelum ini,

Jan 09, Baki tertinggi: RM5000, Baki terendah: RM4000
Feb 09, Baki tertinggi: RM7000, Baki terendah: RM4500
Mac 09, Baki tertinggi: RM6000, Baki terendah: RM5500
Apr 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Mei 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Jun 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Jul 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Ogo 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Sep 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Okt 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Nov 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Dis 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000

Maka, pengiraan bonus ASB berdasarkan baki terendah setiap bulan (pada kadar dividen 1%) adalah seperti berikut,

Jan 09, Baki terendah: RM4000, Dividen=4000*(0.01)/120=0.33
Feb 09, Baki terendah: RM4500, Dividen=4500*(0.01)/120=0.38
Mac 09, Baki terendah: RM5500, Dividen=5500*(0.01)/120=0.46
Apr 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Mei 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Jun 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Jul 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Ogo 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Sep 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Okt 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Nov 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Dis 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67

Dengan itu, jumlah dividen yang diperolehi bagi tahun 2009 ialah RM7.20.

Walau bagaimanapun, saya tidak mengetahui sama ada terdapat sebarang syarat tertentu untuk melayakkan seseorang pencarum mendapatkan bonus tersebut.

Penutup

Suka untuk saya mengingatkan sekali lagi bahawa kiraan di atas hanyalah kiraan kasar dan tiada jaminan kiraan tersebut adalah tepat. Hanya Perbadanan Nasional Berhad (PNB) sahaja mengetahui kiraan sebenar dividen dan bonus ASB. Walau bagaimanapun, Kiraan kasar ini boleh digunakan untuk membuat simulasi menggunakan perisian Microsoft Excel sebagai panduan persendirian.

Terima kasih untuk sebarang komen terhadap kiraan kasar di atas. Saya juga amat mengalu-alukan sekiranya anda ingin berkongsi sebarang maklumat tambahan atau mungkin simulasi dividen dan bonus ASB anda sendiri.

SHARING IS CARING :)

Saturday, November 8, 2008

PROFIL PELABUR

Setiap manusia mempunyai profil atau latar belakang. Profil adalah sesuatu yang luas dan relatif tetapi ia boleh dikategorikan mengikut kesesuaian dan tujuan. Berdasarkan profil, ia dapat membantu kita dalam membuat penilaian terhadap seseorang tetapi ia tidak bererti itu sebagai jaminan positif atau negatif.

Contoh Mudah

Kita ambil satu contoh yang mudah, iaitu profil seorang pemain bola. Setiap pemain bola mempunyai profil yang berkaitan dengan mutu permainannya. Contohnya, kelajuan berlari, kekuatan, stamina, tendangan, tandukan, bentesan, dan sebagainya. Dari profil tersebut kita dapat mengagak kemampuan seorang pemain.

Contoh Kompleks

Sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana majikan untuk membuatkan penilaian ke atas mana-mana calon sebelum ditemuduga berdasarkan resume (atau "curricular vitae") yang dihantar. Resume tersebut mempunyai profil seseorang calon dan kebiasaannya, majikan berpengalaman dapat membuat penilaian kasar seseorang calon berdasarkan resume tersebut. Kebiasaannya, resume akan mengandungi profil seperti maklumat untuk dihubungi, latar belakang pendidikan, pencapaian, keahlian dalam mana-mana badan, latihan-latihan yang pernah diikuti, dan sebagainya.

Profil Pelabur

Begitu juga halnya dengan seorang pelabur. Seorang pelabur juga mempunyai profil. Profil seorang pelabur ialah batasan risiko yang sanggup diambil dalam membuat sebarang pelaburan.

Ujian Mudah

Ujian mudah untuk menentukan batasan risiko ini ialah "Ujian Tidur Malam". Cuba bayangkan adakah anda mampu untuk tidur malam dengan mudah apabila membuat sesuatu pelaburan. Tapi ketepatan ujian ini adalah sangat relatif bagi orang baru kerana agak sukar untuk menghayati sepenuhnya ujian ini tanpa sebarang pengalaman sebenar. *nota kaki: ujian ini bukan ilham saya. saya pun cuma menggunakan semula apa yang saya pernah baca. maaf sekiranya saya telah menukar nama ujian ini kerana saya malas nak mencari semula artikel tersebut :)

Kesimpulan

Selepas mempunyai wang melebihi simpanan minimum (juga bergantung kepada profil, di antara 3-12 bulan) dan mempunyai ilmu asas berkenaan pelaburan yang ingin diceburi (contohnya saham, saham amanah, hartanah, pertanian, dll), silalah menilai semula profil anda sebagai seorang pelabur supaya anda tidak tertekan dan dapat menikmati hidup di samping mencari bekalan untuk akhirat kelak.

LIFE IS SHORT :)


Pada masa artikel ini ditulis, profil penulis adalah KONSERVATIF (atau dalam bahasa mudahnya akan mengalami sakit kepala sekiranya kehilangan walau sedikit modal pelaburan). Untuk menyesuaikan dengan profil ini, penulis hanya mempunyai ASB sebagai tempat untuk menyimpan duit dan memberanakkan duit. Pelan-pelan jangka masa pendek penulis ialah memohon Overdraft yang bersandarkan ASB (untuk meningkatkan liquidity modal) dan mendapatkan perlindungan takaful yang relevan.

Sunday, November 2, 2008

2 Nov 08

Lebih Hadlaju (1 Nov 08)

oleh kerana telah dikatakan memandu melebihi had laju 30 km/j di dalam kawasan "plant", saya telah ditahan oleh 2 orang "Guard" warga tempatan. Walaupun tiada bukti yang dikemukan, kad (pengenalan pekerja) saya telah diambil dan saya telah diberi satu borang pertuduhan. Walaupun saya cuba untuk membela diri, mereka tidak melayan kata-kata saya barangkali kerana masalah bahasa. Saya telah diarahkan untuk pergi ke pejabat "guard" untuk tindakan selanjutnya.

Hasilnya, saya mendapat satu borang pertuduhan yang telah ditukar butiran pertuduhan. Pertuduhan terkini ialah tidak berhenti sepenuhnya ketika di jalan yang mempunyai papan tanda berhenti. Mungkin juga salah saya kerana saya selepas ditahan, saya menunjukkan tanda protes dengan memandu sedikit agresif.

Saya perlu mendapatkan tandatangan pengurus saya untuk mendapatkan semula kad tersebut. Tanpa kad tersebut, saya tidak boleh memasuki kawasan "plant".

Isu yang saya ingin utarakan di sini ialah hak untuk membela diri. Pada pendapat saya, walau apa pun yang terjadi, tertuduh perlu diberi peluang untuk membela diri. Tanpa bukti yang kukuh, pertuduhan yang dilemparkan adalah tidak adil. Tapi, inilah dunia.

Pulang Ke Tanah Air

Tinggal 24 hari lagi untuk saya pulang ke Malaysia pada 26 November 08. Tidak sabar rasanya.

Blog

Sekali lagi saya mengalami masalah untuk menulis di blog ini. Walau apa pun, terima kasih kepada asura (yang telah memberi komen di blog saya), pakdi (yang sering memberi input kepada saya) dan juga kepada semua pembaca yang telah singgah di blog ini. Sila singgah lagi.

Thursday, October 16, 2008

[Ulasan] 5 Jenis Insurans Yang Perlu Dibeli

Saya amat tertarik dengan ulasan dari Investopedia.com oleh Lisa Smith (sila klik sini untuk bacaan penuh) mengenai 5 jenis insurans yang perlu dibeli.

1. Long-Term Disability Insurance
Dalam bahasa melayunya ialah Insurans cacat kekal. Polisi ini penting untuk memberikan perlindungan penuh supaya anda dapat meneruskan kehidupan anda walaupun anda sudah tidak mampu untuk bekerja.

2. Life Insurance
Dalam bahasa melayunya ialah Insuran Hayat. Tujuan polisi ini adalah untuk menjaga kepentingan tanggungan anda dari segi kewangan sekiranya pencarum meninggal dunia atau mati.

3. Health Insurance
Dalam bahasa melayunya ialah Insurans kesihatan. Insurans ini khusus untuk menangani masalah kos perubatan yang amat tinggi (wad, pemeriksaan kesihatan, ubat-ubatan, dll) untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital.

4. Home Insurance
Dalam bahasa melayunya ialah Insurans Kediaman. Idea utama bagi insurans ini ialah kos untuk menggantikan struktur rumah dan isi rumah; sekaligus dengan kos tempat tinggal sementara semasa pembaikan tanpa mengambil kira kos tanah kepunyaan anda.

5. Automobile Insurance
Dalam bahasa melayunya ialah Insurans Otomobil/ Kenderaan. Ini adalah insurans wajib yang perlu untuk membolehkan anda memperbaharui cukai jalan. Perlukan lebih penjelasan?

Tip Bonus untuk Pemilik Perniagaan: dapatkan insurans perniagaan untuk perniagaan anda.

Berhati-hati Memilih Polisi
Terdapat pelbagai jenis Polisi insuran, dari segi harga, perlindungan dan faedah. Baca polisi dengan teliti dan pastikan ejen insurans anda menerangkan kepada anda setiap perlindungan dan kos supaya anda faham setiap satu polisi tersebut. Pastikan polisi yang anda beli merangkumi semua keperluan anda, dan sekali-kali menurunkan tandatangan selagi anda belum puas hati.

Sila tambah sekiranya ada insurans penting yang tercicir dari entri ini :)

Saturday, October 11, 2008

Bagaimana anda boleh men"sifar"kan caj servis Saham Amanah (0%)?

Sebenarnya, cara ini bergantung kepada tawaran pengurus dana (fund manager) dan tawarannya mungkin berbeza-beza di antara setiap pengurus dana, i.e. Public Mutual, CIMB, dll.

Bagaimana? Dengan menjadi perunding saham amanah (UT consultant atau agen UT) bagi portfolio anda sendiri. Anda boleh men"sifar"kan (atau mungkin meminimumkan) caj servis tersebut.

Keburukan? Yang pertama, anda perlu menguruskan sendiri portfolio anda (termasuklah melakukan analisis). Yang kedua, anda terikat dengan satu pengurus dana kerana badan yang mengawasi perunding saham amanah, FMUTM telah mensyaratkan bahawa seorang perunding saham amanah hanya boleh terikat dengan satu pengurus dana sahaja pada satu-satu masa (boleh diguna pakai sehingga tarikh entri ini ditaip sahaja. Sila periksa dengan FMUTM dari masa ke semasa untuk maklumat terkini).

Kebaikan? Selain daripada dapat men"sifar"kan caj servis(atau mungkin meminimumkan), anda berpeluang menambah pendapatan anda selaku penasihat saham amanah (Hanya apabila anda betul-betul telah faham dengan saham amanah tersebut. Kenapa? Nasihat saya, jangan menyusahkan orang lain dengan kekurangan ilmu anda).

Krisis Ekonomi Dunia: Malaysia di ambang gawat (2008/2009).

Entri ini sebenarnya adalah hasil jawapan saya untuk satu isu di forum www.bincang.net mengenai krisis kegawatan ekonomi yang sedang melanda seantero dunia. Malaysia juga tidak akan terlepas dari bahana kegawatan ini, tetapi kesannya masih belum ketara atas beberapa faktor yang saya tidak akan ulas pada entri ini.

Sila klik sini untuk pautan ke situ.

Sebenarnya, saya ingin berkongsi sedikit pendapat saya, tanpa mengambil peduli perkara ini adalah praktikal atau tidak. Berikut ialah jawapan saya (telah diedit sedikit):

"
kite buat sesame kite, pesatkan domestic punye economy. yg penting, makanan punye cycle (supply and demand) kite lajukan lagi pusingan die.

tp, peniaga pon kene support gak le. jgn naikkan harge yg tinggi buat mase ni, cukuplah sekadar untung dan membolehkan ade urusan jual-beli. peniaga2 yg ade kat sini, sebar2kan kat kengkawan. kite kene win-win situation sesame rakyat jelata skrg ni.

even sayur-mayur, daging-maging, padi-madi dan ikan-mikan byk yg mesia import, tp as long domectic cycle tu laju dan dlm harga terkawal, insyaAllah xde masalah besar kot.

rakyat jelata plak, kalo dpt tanam sayur sendiri, tanam. kalo dapat bele ikan sendiri, bele. kalo dpt bele ayam/lembu sendiri, bele. lepas tu jgn peram stock. kalo dpt jual, jual.

so, pengimport sayur kene alert sket. mane2 supply yg ade decreation, jgn beli byk. U guyz xkan bangkrap kalo buat mcm ni utk 6 bulan. cume untung kurang sket. maybe bole tukar rentak sket dgn menjadi penggerak ekonomi domestic, dgn care jadi middle man utk rakyat jelata, si petani sara diri tadi. harge leh kautim punye.
"


Ada sesiapa ingin komen? Sila beritahu pendapat anda kepada saya, sebab pada saya ini bukan isu peribadi atau dalam kain sendiri. Ini isu Malaysia, isu negara kita. Setiap seorang dari kita perlu sedar dan mengambil bahagian demi jatuh bangun negara kita. Jadilah patriotik yang praktikal :)

Zakat Gaji

Saya salin soalan ni terus dari sumber berikut:
Sumber: http://mufti.perak.gov.my/kemusykilan/zakathartapusaka.htm

Kemusykilan mengenai zakat zakat pendapatan (gaji)

Jawapan:

1)Fatwa oleh Dr. Yusuf Qardhawi dan lainya mengenai zakat gaji adalah merupakan ijtihad dari beliau sendiri. Ijtihad itu tidak mengikat sesiapa kecuali orang yang bersetuju dengannya.
Jawatankuasa Syariah Negeri Perak tidak menerima fatwa tersebut kerana asasnya tidak kukuh.

2)Fatwa tersebut tidak berasaskan kepada kaedah yang jelas:
i) Jika ia dibuat berdasarkan Qat`i tidak pula disebutkannya.
ii) Jika ia dibuat berdasarkan qias juga tidak dijelaskan kepada apa ia diqiaskan. Apakah ia qiaskan kepada zakat bijirin, emas, ternakan atau riqaz.
iii) jika bijirin zakatnya 1/10, binatang mengikut jenis binatang yang diternak. Jika emas dan perak, mengikut timbangan dan disyaratkan haul jika sedang riqaz zakatnya 1/5.

3)Selain dari bijirin, haul adalah disyaratkan. Harta yang dikenakan zakat tidak ditolak keperluan diri dan keperluan keluarga yang ditolak hanya hutang.

4)Oleh sebab-sebab yang tersebut di atas maka Jawatankuasa Syariah telah berpendapat, pendapatan gaji tidak dikenakan zakat kecuali setelah disimpan dan cukup haul dan nisabnya.


Berikut adalah perbezaan yang saya dapati (AMARAN: SAYA TIDAK PERNAH MENDAPAT MANA2 DIDIKAN RASMI UNTUK TOPIK INI, terima kasih untuk membetulkan saya sekiranya saya salah):
a. Nisab ialah nilai semasa 85 gram emas. Untuk tahun 2008, nilai emas sekitar RM100/gram atau sekitar RM8500 nilai nisab. Walau bagaimanapun, Pusat pungutan zakat menetapkan kadar nisab untuk tahun 2008 ialah sebanyak RM6400.

b. Syarat zakat juga mestilah sempurna milik. Sekiranya anda masih berhutang, adakah sesuatu barang itu adalah milik anda sepenuhnya? Bahkan, pembahagian harta pusaka adalah terhadap baki harta Allayarham selepas segala hutangnya dibayar terlebih dahulu. Tetapi, pusat pungutan zakat tidak mengambil kira sebarang hutang. Bayangkan sekiranya si pemiutang yang bergaji RM3000 tetapi mempunyai hutang bulanan sebanyak RM2500, bagaimana hendak mengira kadar zakat orang ini? Dan bagaimana pula orang tersebut hendak menyara dirinya?

Pendapat:
Zakat mampu mendidik kita menjadi khalifah Allah yang bersyukur. Jadi, bayarlah zakat bagi mereka yang mampu.

Bagi saya, saya lebih sanggup membayar zakat dari membayar cukai :)

Sunday, October 5, 2008

Ekonomi Malaysia dan Perancangan

Sekarang ini satu dunia sedang mengalami krisis peruduman ekonomi. Malaysia juga sedang terkena bahangnya. Indeks Komposit Malaysia yang pernah mencapai nilai tertinggi 1500 mata juga tidak terlepas dari kesan krisis ini sehingga telah mencecah nilai 980 mata (lebih kurang) pada bulan September 2008 (rujuk sini).


Saham Amanah dan Bursa Malaysia

Ramai juga agen saham amanah (Unit Trust Consultant) mewar-warkan bahawa, sekarang inilah masanya untuk membeli-belah saham amanah kerana harga sekarang sedang murah, seiring dengan penurunan Bursa Malaysia. Tetapi, betulkah sekarang adalah masa yang terbaik untuk membeli saham amanah, sedangkan saham amanah itu sendiri dilaburkan di dalam Bursa Malaysia?

Pinjaman Bank

Sehingga entri ini ditulis, nilai BLR (Base Lending Rate) telah diumumkan kekal pada kadar 6.75% oleh Bank Negara Malaysia. Walau bagaimanapun, kedengaran khabar angin, pada masa ini bank sukar untuk meluluskan sebarang pinjaman walaupun laporan bulanan dari Bank Negara Malaysia adalah sebaliknya (rujuk sini).

Inflasi (Relatif dan Bank Negara Malaysia)

Menurut Laporan Bank Negara Malaysia tersebut juga, kadar inflasi masih lagi kekal pada kadar 8.5%. Hakikatnya, kedengaran banyak rungutan dari rakyat Malaysia (sembang kedai kopi dan sembang di forum) mengenai peningkatan jumlah Ringgit Malaysia (RM) yang terpaksa dibelanjakan untuk mendapatkan barang keperluan pada hari ini jika dibandingkan (secara relatif dan agak-agak) dengan 3 tahun sebelum ini. Bagi saya, nilai perbandingan relatif ini adalah lebih tepat dan relevan untuk digunakan sebagai petunjuk atau penanda aras kos sara hidup sebenar rakyat, berbanding kadar inflasi yang mungkin berguna bagi pihak industri.

Saya tiada latar belakang pendidikan ekonomi. Jadi, saya hanya mampu memberikan pendapat saya berasaskan hasil pembacaan sahaja (untuk makluman, saya hanya menggunakan sumber internet untuk mendapatkan info yang terkini).

Pendapat

Pada pendapat saya, sekarang ni masih lagi masa untuk menunggu dan menambahkan jumlah modal. Sekarang belum masanya lagi untuk membeli saham atau membuat pelaburan. Tetapi, sekiranya anda berkemampuan dan berhajat untuk membeli hartanah, dipersilakan :) Sekiranya anda masih ingin dan sanggup menunggu, pada pendapat saya, pilihan yang berisiko rendah adalah ASB sahaja.

Perancangan Diri Sendiri

Untuk diri saya, saya mungkin akan cuba untuk menceburkan diri semula dalam perniagaan kecil-kecilan berasaskan makanan (makanan ringan dan berat) sekembalinya saya ke Malaysia nanti. Mungkin ini bukanlah cara untuk menjana pendapatan pasif (passive income), tetapi bagi saya, tiada salahnya untuk mempunyai pekerjaan kedua sekiranya beban kerjanya adalah rendah di samping dapat mewujudkan peluang untuk meluangkan masa berharga bersama keluarga. Doakan saya berjaya dan semoga Allah memurahkan rezeki saya sekeluarga, Amin Ya Allah.

Doa saya, semoga Allah memudahkan rezeki saya untuk berkecimpung dengan perniagaan berasaskan makanan sehingga mampu mencapai tahap francaisee (pasar-pasar dan pusat beli-belah), Amin Ya Allah dan InsyaAllah.

Perbezaan

Hari ini, sudah sebulan dan seminggu saya berada di padang pasir tandus. Bermakna, kurang dari dua bulan, saya akan kembali semula ke Malaysia. Terasa begitu lama hari-hari yang berlalu.

Hari ini merupakan hari keenam Aidilfitri. Hari keenam aidilfitri ialah 6 Syawal, 6 Syawal bagi negara Arab Saudi. Tetapi di Malaysia, hari ini ialah hari kelima Aidilfitri. Kedengaran agak pelik, tetapi hakikatnya, di Arab Saudi, anak bulan memang akan kelihatan pada hari ke-28 Ramadhan, mungkin disebabkan tiada lapisan awan yang menutupi anak bulan. Berbanding Malaysia, kemungkinan untuk anak bulan tidak kelihatan adalah tinggi.

Perbezaan inilah yang menyebabkan tarikh Aidilfitri Al-Mubarak di negara-negara Islam berbeza-beza. Bukan kerana perbezaan pendapat atau tidak sehati sejiwa pada pandangan saya. Mungkin saya silap, Astaghfirullaahal'azim.....Wallahu'alam. Betulkan sekiranya pendapat saya ini salah.

Monday, September 29, 2008

Selamat Hari Raya Eidul Fitri

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri kepada semua pembaca blog ini khasnya, dan kepada semua Muslimin dan Muslimat amnya.

Juga, ingin saya mohon keampunan di atas apa juga salah silap yang telah saya lakukan secara sedar atau tidak.

Semoga kita dapat menyambut Ramadhan lagi pada tahun depan; supaya kita masih berpeluang untuk menambah amalan kebaikan, Amin Ya Allah.

Tidak lupa juga, saya mendoakan agar Malaysia menjadi lebih stabil dari segi ekonomi, politik dan sosial, Amin Ya Allah.

Sekian :)

Sunday, September 28, 2008

Saya perlukan motivasi untuk membolehkan saya meneruskan usaha-usaha saya untuk mengemaskini blog ini. Saya hilang motivasi kerana beberapa perkara.

Penyebab utama ialah lokasi saya sekarang ini. Lokasi terkini saya ialah di kawasan padang pasir tandus. Jadi motivasi saya juga setandus padang pasir tersebut.

Motivasi sebelum-sebelum ini (keluarga, masa depan, minat, idea, dll) tidak berjaya mempengaruhi saya kerana faktor jarak. Entri kali ini juga menggambarkan tahap kritikal masalah motivasi saya. Buat masa ini, wang kurang mampu memotivasi saya kerana pada hari-hari tertentu sahaja saya mendapat wang (motivasi hanya apabila dapat wang). Pada hari-hari lain, saya hanya menghabiskan wang. Pendek kata, wang kurang mampu memotivasi saya sekarang ini.

Saya ada beberapa perkara hendak dikongsikan, termasuklah gambar-gambar terbaru pokok cili dan sayur saya (kini dijaga oleh orang rumah saya), idea bisnes saya, dan rancangan kehidupan saya. Tapi nampaknya, selagi saya belum mendapat motivasi, amat sukar untuk saya memasukkan apa-apa entri di dalam blog ini.

Bilangan trafik juga semakin perlahan berbanding sebelum ini (walaupun sebelum ini memang perlahan - "From bad to worse"). Mungkin tiada apa-apa entri menyebabkan orang hilang motivasi untuk singgah di blog ini. Saya sendiri terpengaruh dengan keadaan ini.

Saturday, September 6, 2008

*Off-Topic* Saya Tiada Di Malaysia

Sehingga 26 November 2008 ni, saya tiada di Malaysia atas urusan kerja. Jadi topik di dalam blog saya mungkin akan lebih pelbagai. Terima kasih kerana terus membaca blog ini.

Monday, August 25, 2008

Gambar Sayur & Cili - 24 Ogos 08

Ini pula gambar-gambar yang diambil pada 24 Ogos 2008. Juga menggunakan kamera Handphone 2 MP :)
Alhamdulillah, cili dan sayur (kangkung+kailan) dah semakin subur :)

Gambar Bunga-Bunga Cili Yang Mekar


2 Sekawan Pokok Cili


Kanan


Kiri



Kailan+Kangkung 1


Kailan+Kangkung 2


CILI-CILI?


Gambar Bunga-Bunga Cili Yang Mekar 2

Gambar Sayur & Cili - 13 Ogos 08

Saya nak berkongsi gambar-gambar hasil tani saya.
Gambar-gambar ni saya ambil pada 13 Ogos 08 :)
Tapi maaf lah ye sebab gambar "blur". Guna kamera Handphone 2 MP je :)

Gambar Hasil Cili Pertama.


Gambar Bunga-Bunga Cili Yang Mekar


Sayur Kailan


Sayur Kailan Lagi


Pokok Cili


2 Sekawan Pokok Cili


Lagi-Lagi Gambar Bunga-Bunga Cili Yang Mekar


Kailan+Kangkung

5 Cara Berkesan Untuk Berjimat

[UPDATE pada 12 MAY 2009!] Lagi 5 tips tambahan cara-cara berjimat, sila klik sini


Pertama sekali, saya ingin berkongsi e-books berkaitan penjimatan yang saya perolehi dari internet. Sila tinggalkan alamat e-mail anda di ruangan komen untuk mendapatkan e-books tersebut SECARA PERCUMA. Untuk bacaan lanjut, sila baca artikel ini sehingga habis, terima kasih :)

Kembali ke topik asal, selain dari cara-cara di dalam e-book tersebut(yang boleh dibaca kemudian), saya ingin menambahkan 5 cara berkesan untuk berjimat.

1. Penjimatan harian 1

Setiap hari, kita akan berbelanja. Kita berbelanja untuk barang-barang keperluan dapur, mengisi minyak, membeli buku, membeli suratkhabar, dan sebagainya. Tahukah anda, anda boleh mendapatkan penjimatan dengan membandingkan harga bagi sesuatu barang di antara beberapa buah kedai dan juga laman web jualan internet sebelum membuat keputusan pembelian sesuatu barang untuk mendapatkan nilai terendah? Pastikan anda melakukan perbandingan harga ini kerana anda yang untung. Setiap sen penjimatan ini bolehlah anda masukkan ke tabung anda. Walaupun kedengaran seperti tiada apa-apa, tetapi nilai penjimatan sebenar adalah tinggi. Bayangkan 40% penjimatan dari RM100. Fuh, RM40 tu.

2. Penjimatan Harian 2

Menebus mata ganjaran juga mampu menjimatkan anda. Selain BonusLink atau RealRewards, kad kredit juga mempunyai sistem mata ganjaran. Mungkin anda boleh menebus barang-barang keperluan anda dari mata ganjaran ini untuk lebih penjimatan.

3. Penjimatan Harian 3

Selain membeli barang pada harga terendah, penjimatan juga boleh dilakukan dengan menghasilkan sendiri barang-barang keperluan harian. Paling mudah adalah bercucuk tanam.
Siapa kata tinggal di apartment atau rumah flat tidak boleh bercucuk tanam? Gunakan beg plastik beras 10kg anda. Bagaimana? Tebuk lubang-lubang kecil untuk pengudaraan dan aliran air keluar pada beg plastik tersebut. Kemudian isi tanah campuran tanah laterit dan tanah bakar di beg plastik tersebut (sila dapatkan nasihat pakar bagi nisbah tanah bagi keputusan terbaik). Tanamlah sayur-sayuran anda dan jagalah kadar siraman dan pembajaan (baja organik seperti baja tahi ayam atau baja tahi kambing boleh digunakan dan mudah didapati di “nursery” pokok hiasan dengan mudah) kerana tanah ini berbeza dari tanah di bumi. Setiap hasil tanaman anda boleh dimakan dan anda boleh memastikan penghasilannya tidak menggunakan bahan bukan organik.
Sekiranya rajin, anda mungkin boleh membela ikan keli di dalam akuarium sebagai tambahan sumber. Apabila anda mempunyai lebihan hasilan produk sara diri ini, jangan gusar untuk menjualnya ke mana-mana kedai yang mahu membelinya.

4. Penjimatan Harian 4

DIY atau “Do It Yourself” merupakan satu cara untuk berjimat. Anda boleh mencuci kereta sendiri, membetulkan paip di sinki dapur sendiri atau menjahit pakaian raya sendiri. Anda pasti akan berpuas hati dengan nilai yang anda mampu jimatkan dengan melakukan sendiri kerja-kerja yang ringkas. Tetapi awas, jangan jadi “seperti tikus membaiki labu”. Anda harus akui batas-batas pengetahuan dan keupayaan anda. Terima kasih kerana tidak membaiki apa-apa yang diluar pengetahuan dan keupayaan anda kerana sekiranya anda mungkin meningkatkan kadar kerosakan barang tersebut.

5. Penjimatan Harian 5

Ini adalah cara yang paling ekstrim. Tetapi bagi kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia, Britain, dan sebagainya, cara ini semakin diterima pakai terutamanya bagi pencinta alam. Menghasilkan elektrik sendiri dan mewujudkan keperluan air sendiri. Penghasilan elektrik yang semakin popular termasuklah penggunan panel solar, kincir angin individu dan sistem hidro mini. Bagi keperluan air sendiri pula, sistem empangan mini atau sistem tadahan air hujan (lengkap dengan sistem rawatan air) semakin diterima. Setiap sistem ini memerlukan modal permulaan yang tinggi, tetapi berpotensi untuk menjana pendapatan sekiranya mampu menjual bekalan elektrik atau air bersih lebihan kepada jiran-jiran. Ekstrim bukan, kerana jangan berangan-angan memilih cara ini sekiranya ilmu tidak mencukupi.

Penutup

Akhir kata, perlu diingat senarai ini dan e-book yang saya kirinkan bukanlah senarai mutakhir cara berjimat. Ini hanyalah SEBAHAGIAN sahaja dari cara-cara menyimpan duit. Anda perlu menggunakan kreativiti sendiri dan sesuaikan dengan keperluan anda.

UPDATE

UPDATE ON 12 MAY 2009! Lagi 5 tips tambahan cara-cara berjimat, sila klik sini

-----------------------------------------------------------------------------------------------

E-BOOK

Berikut ialah 3 buah e-books yang saya ingin kongsikan bersama:
1. 20 Cara Jimat Duit, karya Team RahsiaEBiz.com
2. Penjimatan Pemakanan Seharian, (tiada nama penulis di sini, tetapi bukan hasil kerja saya).
3. Jimatkan Perbelanjaan Kenderaan Seharian, (tiada nama penulis di sini, tetapi bukan hasil kerja saya).

Sekali lagi, sila tinggalkan alamat e-mail anda di ruangan komen untuk mendapatkan e-books tersebut SECARA PERCUMA

9 Cara Berkesan Menyimpan Duit

Langkah pertama menuju ke arah kebebasan kewangan ialah dengan menyimpan. Di mana-mana anda membaca, semuanya menegaskan perkara ini. Pernyataan-pernyataan, “Simpanlah wang anda”, “Menabunglah wang anda”, “Menabung adalah langkah pertama untuk melabur”, dan sebagainya.

Di sini, saya ingin berkongsi 9 cara berkesan menyimpan wang anda.

1. Peruntukkan suatu nilai tetap sebagai nilai simpanan bulanan

Cara utama untuk menabung ialah dengan menetapkan simpanan bulanan secara tetap dari pendapatan (atau wang saku/elaun bulanan bagi yang belum bekerja). Kebanyakan nasihat memilih 10% dari jumlah pendapatan bulanan sebagai nilai minimum. Lebih tinggi nilai simpanan adalah lebih bagus, tetapi pastikan anda telah menunaikan semua tanggungjawab anda terlebih dahulu.

2. Bonus tahunan/prestasi

Bonus merupakan sesuatu yang menggembirakan bagi setiap pekerja. Tanpa bonus, sebuah kompeni mungkin akan kehilangan pekerja-pekerja hebatnya. Tetapi, adakah berbaloi untuk menghabiskan semua wang bonus hasil susah payah anda selama setahun itu? Huhuhu. Apa kata anda songsangkan PRINSIP MEMBELANJAKAN WANG GAJI anda untuk diaplikasikan ke atas bajet wang bonus anda? Maksud saya, membelanjakan 10% sahaja dan bakinya sebanyak 90% disimpan :)

3. Elaun tambahan

Kebiasaannya, pekerja-pekerja yang perlu bekerja di luar pejabat akan diberikan elaun tambahan. Di antaranya termasuklah elaun minyak, tol, “mileage”, makan, dan sebagainya. Bukan senang untuk menguruskan wang elaun ini, kerana kebiasaannya anda perlu mengeluarkan belanja sendiri dahulu sebelum membuat tuntutan (atau “claim”) dari kompeni anda. Sesetengah kompeni akan membayar semula tuntutan tersebut selepas sebulan. Sebilangannya hanya akan membayar semula tuntutan tersebut hanya selepas dua bulan. Berhati-hati dengan elaun ini. PERUNTUKKAN DAHULU UNTUK KEGUNAAN BULAN BERIKUTNYA BAGI KEGUNAAN TUGASAN LUAR PEJABAT DARI NILAI TUNTUTAN ELAUN YANG DITERIMA SEBELUM ANDA MENYIMPAN. Tiada gunanya sekiranya anda perlu meminjam wang orang lain kerana tujuan anda menyimpan adalah KEBEBASAN KEWANGAN.

4. Kenaikan gaji tahunan

Saban tahun, kebanyakan syarikat akan menghadiahkan kenaikan gaji tahunan bagi pekerja-pekerjanya. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mentaksirkan semula bajet perbelanjaan bulanan anda untuk disesuaikan dengan gaji baru anda. Idealnya, simpan semua kenaikan gaji anda. Tetapi, dalam dunia sebenar, berikanlah sedikit ruang untuk anda merasai dan menikmati kenikmatan kenaikan gaji tersebut. Anda memerlukan motivasi untuk terus kekal menabung. Peruntukkanlah sebahagian kecil wang anda seperti menghadiahkan sehelai baju baru untuk diri anda sendiri 

5. Pendapatan tambahan

Menambah wang pendapatan sudah tentulah dapat menambahkan nilai tabungan, SEKIRANYA anda tidak menjolikan ksemua pendapatan tambahan tesebut. Cubalah berniaga kecil-kecilan (“online” atau “offline”) atau menjadi ejen insuran atau menjadi ejen Unit amanah (juga dikenali sebagai “unit trust”) sebagai langkah awal. Sekiranya anda berani, mempunyai modal besar, dan mempunyai ilmu, mungkin boleh melibatkan diri di dalam saham ekuiti, atau hartanah, atau mungkin juga pasaran hadapan.

6. Menyimpan setiap nilai penjimatan

Simpanlah setiap sen yang berjaya dijimatkan pada setiap kali anda berbelanja. Bagaimana untuk berjimat? Terlalu banyak cara. Sila klik di ini untuk bacaan lanjut.

7. Wang syiling

Hampir semua barang-barang yang dijual bukanlah bernilai genap RM seperti RM1 atau RM10. Kebanyakannya akan bernilai RM1.60, RM10.10, dan sebagainya. Setiap kali kita membuat pembayaran bagi barang-barang ini, kita akan diberi baki wang syiling. Dapatkan sekurang-kurangnya sebuah tabung (atau sebarang botol kosong) untuk dijadikan tabung bagi wang syiling tersebut. Sebagai kiraan mudah, ambil nilai RM0.50 sebagai nilai tabungan syiling harian. Darabkan dengan 30 hari, 0.50*30=RM15 bagi setiap bulan. Untuk setahun, darabkan dengan 12, 15*12=RM180. Hah, siapa nak bagi RM180 kepada anda?

8. Lebihan wang perbelanjaan bulanan

Setiap bulan, majikan akan membayar gaji pada satu tarikh yang tetap (mungkin lewat selama 2-3 hari, hehehe). Apabila sampai tarikh gaji masuk, periksa penyata kewangan anda untuk memeriksa jumlah lebihan wang perbelanjaan bulanan anda bagi bulan itu. Ucapkan syabas kepada diri anda kerana anda tidak menjolikan wang lebihan tersebut (menyimpanlah).

9. Bersedekah dan Bayar Zakat

Selain menabung, anda perlu ingat, tiada gunanya mempunyai wang yang banyak sekiranya IA AKAN MENJADI BEBAN DI AKHIRAT KELAK. Bayarlah zakat kerana ia WAJIB. Bersedakahlah kerana di dalam harta anda, Allah telah tetapkan rezeki untuk orang lain. Tetapi, adalah lebih AFDHAL untuk bersedakah kepada keluarga sendiri sebelum orang lain. Selain mendapat pahala sedekah, anda juga telah merapatkan tali silaturrahim sesama keluarga anda, insyaAllah. Jangan bimbang, sedekah dan zakat tidak akan mengurangkan wang anda kerana insyaAllah Allah akan melipatgandakan lagi rezeki anda dan memberkatinya. Amin Ya Allah.

Akhir kata, perlu diingat senarai ini bukanlah senarai mutakhir cara menyimpan duit. Ini hanyalah SEBAHAGIAN sahaja dari cara-cara menyimpan duit. Anda perlu menggunakan kreativiti sendiri dan sesuaikan dengan keperluan anda.

Thursday, August 21, 2008

Kompaun

Saya "frust". Tadi pergi ke Pejabat JPJ di Kompleks Pertama. Saya meletakkan motosikal di kaki lima. Selesai urusan di Pejabat JPJ, kelihatan "surat cinta" dari DBKL di dalam bakul motosikal saya. Mula-mula saya ingatkan "flyers". Nasib baik saya baca dulu, kalau tidak, renyuk dan buang la jawabnya :)

Kompaun tu mahal, RM100. Tapi ada sumber yang boleh dipercayai memberitahu, boleh minta diskaun. Hehehe. Salah saya jugak letak motosikal di kaki lima. Padan muka.

Terbang lagi duit :(

Pembelian Buku Online

Saya ingin berkongsi cerita sedikit mengenai pengalaman saya (PERTAMA KALI!) membeli buku melalui on-line . Pembelian tersebut adalah melalui Syarikat penerbitan buku Truth Wealth Sdn Bhd, milik En Azizi Ali, seorang penulis buku yang sangat terkenal. Di antara karya-karyanya yang mendapat sambutan termasuklah Jutawan Dari Planet Jupiter! dan Lahirnya Seorang Jutawan(sila klik sini untuk senarai penuh).

Pembelian

Tanggal 12 Ogos 2008, saya memesan 3 buah buku dari Truth Wealth walaupun ini adalah pertama kali saya membeli-belah secara on-line (tak termasuk lelongan atau pembelian e-book). Jumlah pembelian saya melalui website Truth wealth Sdn Bhd melibatkan jumlah wang sebanyak RM70. Sebenarnya saya sudah lama ingin membeli buku-buku tersebut (sebab saya selalu menjelajah kedai buku MPH untuk melihat-lihat buku-buku yang menarik minat saya), tetapi jumlah harga bagi ketiga-tiga buah buku agak mahal iaitu menghampiri RM130 (bagi saya mahal kerana.......hehehe, limited budget).

Wah, RM130-RM70=RM60. Penjimatan yang sangat besar. Mungkin Allah dah tentukan rezeki saya untuk berjimat sebanyak RM60. Tambahan pula, Truth Wealth Sdn Bhd menanggung semua belanja pos. Selesai membuat pembayaran Maybank2U, saya pun menunggu dengan agak sabar walaupun agak teruja (pertama kalilah katakan).

Keesokan harinya, iaitu pada 13 Ogos 2008,saya mendapat 2 e-mail dari Truth Wealth Sdn Bhd; satu ialah pemberitahuan penerimaan pembelian atau "Order Received Notification" dan satu lagi ialah Status Pesanan Buku atau "Status of Books Order". Pemprosesan pesanan saya mengambil masa selama satu hari. Baru saya tahu pembelian secara on-line mengambil masa yang agak panjang mungkin kerana pesanan-pesanan akan dikumpulkan sebelum diproses.

Penghantaran

Tanggal 14 Ogos 2008 saya telah mendapat e-mail mengenai buku-buku pesanan saya sudah dikirimkan melalui Pos Express. Saya telah diberikan kod rujukan kiriman tersebut untuk membolehkan saya memeriksanya melalui website Pos Malaysia. Wah, gembiranya saya. Tidak sabar rasanya untuk menerima buku-buku tersebut.

Penerimaan

Saya menghadapi sedikit masalah dalam proses penerimaan kiriman buku-buku saya. Saya hanya menerima kiriman tersebut pada 19 Ogos 2008 kerana salah faham walaupun Kiriman tersebut sudah tiba di alamat yang saya berikan (alamat pejabat) pada 15 Ogos 2008. Untuk meringkaskan coretan ini, saya tidak akan menceritakan usaha-usaha pencarian kiriman buku tersebut. Saya ingin berterima kasih kepada Pos Malaysia, Truth Wealth Sdn Bhd dan Kompeni saya sendiri kerana membantu saya untuk mengesan semula kiriman tersebut :)

Tajuk Buku & Diskaun

Sebelum saya terlupa, ingin saya kongsi sesuatu di sini, Truth Wealth Sdn Bhd akan memberikan diskaun pada masa-masa tertentu untuk setiap buku-buku terbitannya bagi pembelian secara online. Sebab itu jugalah saya dapat menjimatkan RM60 iaitu diskaun sebanyak 46% :) Berikut ialah senarai buku belian saya beserta harga asal:

a) Juara Lelongan Hartanah (RM39.90)
b) Bagaimana Hendak Menjadi Jutawan Hartanah (RM49.90)
c) Bagaimana Hendak Menjadi Tuan Rumah Jutawan (RM39.90)

Sila klik sini untuk senarai harga semasa (ada diskaun) buku-buku terbitan Truth Wealth Sdn Bhd bagi pembelian secara online.

Kongsi

Cadangan saya untuk pembelian buku. Sebelum membeli sesuatu buku, cuba bandingkan harga-harga buku tersebut di kedai-kedai buku dan juga di laman web. Mana tahu rezeki anda untuk mendapat harga diskaun yang sangat menguntungkan.

Satu lagi, untuk sebarang kiriman pos, Pos Ekspres adalah kiriman yang sangat tidak selamat kerana tidak memerlukan penerimanya menandatangi sebarang dokumen pengesahan. Untuk pilihan yang lebih selamat, gunakan khidmat Pos Laju atau khidmat kiriman "courier" swasta seperti Nationwide, Gedex, Fedex dan sebagainya kerana penerima perlu menandatangani dokumen pengesahan penerimaan dan penghantaran bungkusan kecil di dalam negara atau domestik hanya mengambil masa 2 hari bekerja (hantar harini, esok dapat, insyaAllah) sekiranya tiada masalah.

Friday, August 15, 2008

Emosi

Emosi saya kurang stabil. saya sendiri kurang pasti mengapa. Adakah kerana tekanan hidup atau tekanan kerja atau tekanan wang ringgit? Atau semuanya menyumbang sedikit sebanyak ketidakstabilan emosi saya? saya sendiri musykil.

Tetapi saya akui, dua tiga tahun kebelakangan ini, saya kurang membaca Al-Quran. Kelemahan saya ini memang tidak dapat disangkal menjadi antara penyumbang ketidakstabilan emosi saya :(

Saya juga agak pening memikirkan tentang pelaburan wang saya sejak kebelakangan ini. Oleh kerana wang saya agak terhad, jadi saya perlu berhati-hati dalam menggunakan sumber milik saya. Sudah nyata, buat masa ini, saya tergolong dlm golongan "conservative" atau "low-risk taker" kerana walaupun belum mula melabur, saya sudah takut akan sebarang kerugian.

Mungkin kerana ini juga, banyak nasihat dari orang-orang lama (sumber dari website dan blog-blog sahaja) yang menasihatkan untuk melabur HANYA wang lebihan selepas mempunyai tabungan sekurang-kurangnya menyamai perbelanjaan sebanyak 3 bulan terlebih dahulu (lagi banyak lagi bagus). Pelaburan memang sesuatu yang mencabar emosi saya (harap-harap hanya untuk setahun dua ini sahaja). Di kala kadar sara diri yang meningkat secara mendadak sejak 3 tahun kebelakangan ini, dirasakan amat mencabar walaupun untuk memenuhi keperluan minima.

Lagi satu, penggunaan kad kredit juga telah menyerabutkan pemikiran saya. Kad kredit memang boleh melengahkan sebarang bayaran SEHINGGA 20 hari (kalau betul cara penggunaan), tetapi juga telah menambah beban otak saya kerana saya tidak boleh terlupa sebarang hutang. Selepas hutang kad kredit sudah dibayar sebelum tarikh akhir, barulah otak saya mendapat sedikit ketenangan. Itupun hanya untuk beberapa hari sebelum saya menggunakan semula kad kredit tersebut (nota: saya guna kad kredit untuk bayar bil je, itupun sebab nak kumpul "treat point").

Tapi, semua itu hanya kemungkinan. Yang nyata, setiap manusia mempunyai perbezaan pemikiran dan keupayaan untuk menahan tekanan emosi. Semoga Allah menguatkan Iman saya, memurahkan rezeki yang halal kepada saya dan memberkati hidup saya; bersama keluarga saya, Amin Ya Allah :)

Thursday, August 14, 2008

Pengalaman menguruskan kewangan

Sekolah Menengah

Anda masih belajar di sekolah menengah. Sekarang berada di tingkatan tiga. Punca pendapatan
anda hanyalah wang saku mingguan sebanyak RM20. Tetapi anda telah banyak membaca buku-buku (dan blog-blog) pelaburan dan pengurusan kewangan. Anda terlalu teruja untuk mengaplikasikan ilmu anda. Tetapi bagaimana? Dengan sumber kewangan yang terhad dan di bawah umur (18 tahun), tidak banyak yang boleh dilakukan. Hendak menunggu sehingga cukup umur, boleh dikira agak lama, kira-kira 3 tahun. Itu belum kira kemampuan kewangan.

Universiti

Anda berumur 19 tahun. Dari segi umur, anda sudah layak untuk membuat keputusan sendiri. Berbekalkan ilmu hasil pembacaan buku-buku (dan blog-blog) pelaburan dan pengurusan kewangan, anda rasa dunia ini anda yang punya; SEKIRANYA anda boleh menjana pendapatan besar hasil dari pelaburan bijak anda. Berbekalkan duit biasaswa JPA sebanyak RM3500 setiap semester, anda mampu menabung sebanyak RM500 bagi setiap semester. Tetapi, anda tidak mampu menanggung sebarang risiko kerugian kerana pelaburan melibatkan risiko. Jadi bagaimana?

Baru Bekerja

Anda sudah bekerja selama 1 tahun. Berkat kesabaran anda membuat simpanan bulanan tetap sebanyak 10% (atau RM200), anda telah mempunyai jumlah simpanan sebanyak RM2400. TAHNIAH UNTUK ANDA. Anda juga mempunyai kesedaran kewangan dan sanggup untuk mengeluarkan sedikit simpanan sebagai modal untuk berniaga bagi pengembangan aset. Tetapi, anda tidak mahu menanggung sebarang risiko kerugian kerana simpanan anda masih belom berada dalam tahap selamat. Apa yang boleh dilakukan?

Pekerja Veteran

Anda paling terkenal di dalam pejabat kerana kemampuan anda menyiapkan semua kerja dalam masa yang ditetapkan. TABIK SPRING. Anda mempunyai jumlah simpanan yang mampan sebanyak RM20000. Tetapi anda masih tercari-cari arah, bagaimana hendak mengembangbiakkan wang anda. Anda buntu.

Cashflow

Anda boleh mulakan langkah seterusnya dengan permainan Cashflow. Permainan ini adalah permainan papan seperti catur dan monopoli tetapi berkonsepkan pengurusan kewangan. Sila klik di sini untuk maklumat lanjut berkaitan permainan ini.http://www.pakdi.my/blog/permainan-cashflow-101/

Untuk kesan yang lebih, anda boleh sertai bengkel Cashflow anjuran Pakdi. Sila klik di sini sebagai bacaan tambahan mengenai bengkel cashflow anjuran Pakdi.
http://www.pakdi.my/blog/category/game-cashflow/


nota kaki: saya juga masih belum berpeluang untuk menyertai bengkel permainan cashflow ini, sebab itu saya tidak boleh mengulas lebih lanjut, hehehehe. Tetapi saya sangat berazam untuk menyertainya untuk pengalaman sendiri.

Tuesday, August 5, 2008

Ulasan blog getrichslowly (oleh J.D. Roth)

Blog Pilihan

Saya amat tertarik dengan blog http://www.getrichslowly.org. Blog ini menekankan cara-cara menjadi kaya secara perlahan. Dibantu oleh kisah-kisah benar yang diolah menarik sebagai tauladan, blog ini banyak menekankan konsep simpanan dan konsep berjimat-cermat.

Suka untuk saya membawakan satu panduan ringkas hasil terjemahan ke Bahasa Malaysia dari blog tersebut (boleh dicapai di sini).

1. Tiga Langkah Bajet (Andrew Tobias, The Only Investment Guide You'll Ever Need):
a. Musnahkan semua kad kredit anda.
b. Labur 20% daripada pendapatan anda. Jangan sesekali menggunakan wang ini.
c. Hiduplah dengan baki 80% daripada pendapatan anda, tidak kira apa yang berlaku.

2. Bajet Bernilai Anda (Elizabeth Warren, All Your Worth)
a. 50% untuk keperluan (cukai, barang dapur, tempat tinggal, insurans, utiliti, pakaian asas).
b. 30% untuk kemahuan (pakaian tambahan, makan di restoran, permainan video, keperluan mengait, Percutian).
c. 20% untuk simpanan (termasuk pembayaran hutang).


3. Penyelesaian 60% (Richard Jenkins, MSN Money)

a. 60% untuk perbelanjaan wajib (Cukai, Makanan, Tempat Tinggal, Insurans, Utiliti, Pakaian).
b. 10% untuk perbelanjaan jarang-jarang (Percutian, Bil Perubatan, Kos Membaiki, Kelengkapan).
c. 10% untuk simpanan jangka panjang atau pembayaran hutang (Pinjaman Belajar, Kad Kredit, Simpanan untuk kereta, Wang Pendahuluan rumah).
d. 10% untuk Persaraan (401k atau Roth IRA-di Malaysia dipanggil KWSP atau EPF).
d. 10% untuk bergembira (boleh dibelanja sesuka hati).

4. 8 Langkah Ringkas Untuk Menguruskan Wang Anda:
a. Berbelanja Kurang dari pendapatan anda. Catat setiap sen yang dibelanjakan. Elakkan HUtang. Elakkan HUtang. Elakkan HUtang.
b. Hadiahkan diri anda dahulu. Sebelum anda membayar bil, sebelum anda membeli barang dapur, sebelum berbuat apa-apa, asingkan X% dari pendapatan anda (20% adalah pilihan yang baik).
c. Kesempurnaan adalah musuh. Usah bimbang untuk menjadikan sesuatu perkara itu sebetul-betulnya. Pilih pilihan terbaik dan usahakan sesuatu. sekiranya anda hanya boleh menyimpan 5%, simpanlah sebanyak 5%. Berbuat sesuatu lebih baik dari tidak berbuat apa-apa.
d. Buatlah sesuatu mengikut kesesuaian anda. Setiap manusia adalah berbeza. Sesuatu yang berkesan untuk seseorang tidak semestinya akan berkesan untuk orang lain. Tidak ada satu cara yang betul untuk menyimpan atau melabur atau membayar hutang atau membeli rumah.
e. Buatlah sesuatu perlahan-lahan. Orang yang paling berjaya adalah orang yang bekerja paling tekun dan paling gigih terhadap sesuatu yang paling disukainya. Mereka tidak mendapatkannya secara tiba-tiba. Bersabarlah dan berseronoklah dengan perjalanan tersebut.
f. Kegagalan adalah ok. Kita belajar dari kegagalan. Tidak pernah mencuba adalah lebih teruk dari gagal dalam mencuba sesuatu. Lebih baik mencuba dan gagal daripada tidak pernah mencuba. Gunakan kegagalan tersebut untuk belajar melakukan yang lebih baik pada masa hadapan.
g. Wang bukan pengiraan semata-mata; wang adalah cara berfikir. Semua orang memahami pengiraan. Hiduplah dengan gembira dan dalam kawalan; duit akan lebih mudah untuk diuruskan.
h. Kegembiraan adalah lebih penting daripada menjadi kaya. Tetapi wang boleh memberikan lebih banyak pilihan(untuk berbuat sesuatu) di dalam kehidupan.

Sejuta kemaafan sekiranya terjemahan yang diberikan agak kelakar. Apa yang penting bukan penyampaian, tetapi isi yang ingin disampaikan.

Selamat membaca dan semoga mengambil iktibar dari pengalaman orang lain.

Thursday, July 31, 2008

Didikan Awal

Didikan Awal

Majoriti masyarakat hari ini bersetuju bahawa dengan memberi sejumlah wang yang besar (angpau, duit raya atau wang saku) kepada anak-anak merupakan tindakan yang kurang bijak. Anak-anak perlu dididik untuk menghargai kesusahan mencari wang. Tindakan ini secara tidak langsung dapat membantu mengelakkan kanak-kanak mengeluarkan wang untuk dibazirkan, contohnya wang dihabiskan untuk permainan video.

Ikuti kisah Puan A vs Puan X. Sila baca link ini sebelum anda teruskan pembacaan. Selamat Membaca cerita :)
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
Lebih Bijak

Adalah lebih bijak untuk memberikan wang kepada anak-anak dalam kuantiti yang sederhana dan kemudian anak-anak ini diajar untuk menabung bagi tujuan mendapatkan sesuatu barang; daripada diberi terus sejumlah wang untuk digunakan bagi tujuan yang sama. Selain dari mendalami konsep menabung, konsep wasatiah dan pelaburan dapat diterapkan.

wah, bukankan ini sudah bagus? Seperti "3-in-1". Tetapi, AWAS. Pastikan anda menerangkan setiap teori di sebalik menabung, pelaburan dan konsep wasatiah dan sentiasa memantau bajet anak-anak anda supaya mereka tidak tersasar dari tujuan sebenar ketiga-tiga perkara tersebut.

Moral Cerita

Anak-anak anda perlu belajar sebelum mengetahui atau menguasai sesuatu perkara. Seperti juga orang dewasa, anak-anak dapat belajar dengan baik dan pantas melalui pengalaman sendiri dan pada waktu yang sama dibawah tunjuk ajar orang yang lebih dewasa.

Setuju atau tidak, inilah hakikat dunia. Bersama-samalah kita menuju ke hadapan bersama keluarga tercinta.

Puan A vs Puan X.txt

Realiti Hidup Puan A

A seorang ibu yang prihatin dan amat mementingkan pendidikan awal melalui teladan kepada anak-anaknya. Pendekatan A amat mudah, iaitu menceritakan teori, dan melakukan latihan dibawah pemantauannya supaya anak-anaknya mendapat pengalaman sebenar.

A ingin menerapkan sifat wasatiah kepada anaknya, B, di samping memberi peluang kepada B untuk menghayati erti dan kelebihan menabung. Untuk permulaan, A menerangkan konsep asas menabung kepada anaknya, B, iaitu menyimpan lebihan wang belanja dan menetapkan matlamat tabungan tersebut. Untuk membuatkan latihan ini menarik, A membantu B menetapkan matlamat tabungan, iaitu untuk membeli alat permainan papan "Cashflow" yang berharga RM300.

A memberi wang saku RM2 setiap hari kepada anaknya, B. Setiap hari, B membelanjakan RM1.50 sahaja di sekolah. Selebihnya, iaitu sebanyak RM0.50 akan dimasukkan ke dalam tabung Arnab. Untuk membantu memahami konsep "compounding interest" di dalam latihan ini, A akan memberi dividen 5% setiap bulan.

Realiti Hidup Puan X

X seorang ibu Malaysia tipikal. Seperti A, X memberi wang saku RM2 setiap hari kepada anaknya, Y. Setiap hari, Y juga membelanjakan RM1.50 dan selebihnya, iaitu sebanyak RM0.50 akan dimasukkan ke dalam tabung Gajah. Walaubagaimanapun, Y tidak diterangkan oleh ibunya X kepentingan dalam membuat tabungan mahupun wasatiah.

Kesan Selepas 2 Tahun

B mempunyai hasil tabungan sebanyak RM490, hasil daripada simpanan RM11 sebulan (anggapan 22 hari persekolahan), dan nilai dividen sebanyak 5% setiap bulan (jumlah wang sebelum digunakan untuk membeli permainan "CashFlow"). Selain dari wang simpanan, B telah diterapkan dengan konsep menabung, wasatiah dan "compounding interest". Apa lagi yang lebih bernilai berbanding pengalaman sebenar? (kecuali pengalaman bengkel simulasi "cashflow 101" oleh Pakdi, klik sini utk info).

Y mempunyai hasil tabungan sebanyak 264, hasil daripada simpanan RM11 sebulan (anggapan 22 hari persekolahan). Berbeza dengan B, Y masih ragu-ragu dengan kebaikan menabung, wasatiah atau "compunding interest" kerana pengalaman yang diperolehinya hanyalah menabung. Itu pun kekurangan satu perkara, iaitu tiada matlamat menabung.

Moral Cerita

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya"
"Practice make perfect"


Dua peribahasa di atas amat tepat untuk menggulungkan isi cerita "Puan A vs Puan X". Hayati dan praktikkanlah untuk generasi akan datang. Latihan pertama mungkin banyak kekurangan, tetapi tidak susah untuk diperbaiki. Walau apa pun, mulakanlah, bak pepatah Inggeris "A journey is start from first step".

"Tepuk dada tanya selera". Pilihan di tangan anda, untuk membantu keluarga tercinta.

Monday, July 21, 2008

Mengira; Bukan Berkira

Mengira perbelanjaan

Mengira perbelanjaan dapat mengelakkan sebarang pembelian yang tidak perlu, sekaligus mewujudkan aliran tunai yang positif dan digunakan sebagai tabungan. Alat atau "tool" yang boleh digunakan termasuklah bajet diri berasaskan Microsoft Excel dan Buku 555.

Berkira

Islam amat menegah pembaziran, tetapi amat menggalakkan bersedekah dan memfardhukan (mewajibkan) zakat. Malah adalah lebih afdhal untuk membantu keluarga sendiri dahulu sebelum orang lain. 2 perkara yang diperolehi apabila membantu keluarga sendiri termasuklah merapatkan ikatan silaturrahim dan pahala bersedekah. Justeru, janganlah terlalu berkira untuk bersedekah dan berzakat.

Amalan

Justeru, amalkanlah sifat mengira dalam perbelanjaan harian; tetapi jauhilah si berkira. Semoga Allah memberkati hidup kita dan dimurahkan rezeki oleh-Nya, Amin.

Tuesday, July 15, 2008

Menabung a.k.a. Simpanan

Kes tipikal manusia.

A mempunyai pendapatan bersih RM1500 sebulan. Berbekalkan RM1500 itu, A telah berjaya mendisiplinkan diri utk menabung sebanyak RM150 setiap bulan (10% dari pendapatannya).

B mempunyai pendapatan bersih RM3000 sebulan. Walaupun begitu, B tidak pernah berusaha untuk menyimpan walau RM10 dari pendapatannya. Tidak cukup dengan RM3000, B mempunyai masalah menguruskan penggunaan kad kreditnya dengan mempunyai pertambahan baki tertunggak sebanyak RM150 setiap bulan.

Apa yang terjadi pada mereka selepas setahun?

A mempunyai tabungan sebanyak RM1800 (pokok) + RM58.88 (dividen ASB pada kadar 7% setahun). Selain dari wang, A juga mempunyai kesedaran untuk mengawal perbelanjaan secara bijak dan berpeluang untuk memohon pinjaman wang untuk projek-projek menambahkan pendapatan di masa akan datang.

B mempunyai bebanan hutang kad kredit sebanyak RM1929.05 (termasuk faedah 15% setahun). Selain dari beban hutang, B berhadapan masalah tekanan akibat beban hutang dan prestasi kerjanya merosot kerana kekurangan fokus.

Apa yang terjadi sekiranya A dan B masih melakukan perkara yang sama untuk 2 tahun yang berikutnya?

Jumlah tabungan A akan meningkat sehingga RM5400 (pokok) + RM589.52 (dividen ASB pada kadar 7% setahun) di samping pengukuhan ilmu kewangannya (berdasarkan pengalaman menguruskan kewangan sendiri selama 3 thn).

Hutang kad kredit B meningkat sehingga RM6767.33 (termasuk faedah 15% setahun) selain menghadpi masalah kendiri dan motivasi. Lebih memburukkan keadaan, sudah pasti pada masa yang sama, B telah disenaraihitamkan oleh Bank Negara Malaysia.

Moral Cerita

Langkah pertama untuk mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh adalah dengan menabung a.k.a. menyimpan.
Mempunyai pendapatan tidak bermaksud anda mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Sebaliknya, mempunyai pendapatan bermaksud anda mempunyai 2 pilihan iaitu menyimpan atau menghabiskan.

Jangan tunggu lagi. Mulakanlah simpanan anda pada saat dan ketika ini juga. Selain mempunyai wang simpanan (hasil tabungan anda), anda juga pasti memperolehi pengalaman berharga menguruskan kewangan sendiri; selain motivasi kerana telah ANDA BERJAYA DALAM MENGURUSKAN DIRI SENDIRI TANPA HUTANG.

Friday, July 11, 2008

Kewangan & Kanak-Kanak

Apa itu kewangan? Apa itu ilmu kewangan? Apa itu kesedaran kewangan?

3 soalan yang pada saya amat penting sebelum kita meneruskan dengan pengetahuan mengenai simpanan dan pelaburan.

Siapa yang mempunyai jawapan untuk ketiga-tiga persoalan tadi? Mungkin tiada masalah bagi seorang dewasa yang mempunyai pendapatan mempunyai jawapan bagi ketiga-tiga soalan tadi.

Bagaimana pula dengan kanak-kanak?

Saya sendiri tidak mempunyai pengetahuan kewangan langsung ketika di sekolah rendah dan di sekolah menengah.

Ketika melanjutkan pengajian di universiti pula, saya hanya tahu bagaimana menguruskan kewangan supaya saya dapat makan, motosikal saya mempunyai petrol yang cukup, telefon bimbit saya bole menghantar SMS, dalam erti kata lain, wang saku hanya cukup-cukup makan (walaupun ketika itu wang saku saya adalah Rm400 hingga RM500 sebulan). Tiada istilah simpanan di dalam kamus hidup saya ketika itu.

Kesannye?

Saya tiada simpanan langsung apabila saya tamat pengajian dan mula bekerja sedangkan di kalangan rakan-rakan saya yang menabung (duit biasiswa) sudah mempunyai beberapa ribu RM wang tabungan.

Moral Cerita

Jadi, sebagai seorang dewasa (abang2, kakak2, bakal makbapak2, makbapak2, datuk2, nenek2, guru2, etc), kita perlu mula memainkan peranan untuk memberitahu dan menerangkan kepada orang-orang yg kite sayang dan rapat dgn kita, jawapan untuk 3 persoalan tadi, iaitu:

a) Apa itu kewangan?

* kewangan ialah sesuatu yang berkaitan dengan duit (alat untuk urusan jual beli)

b) Apa itu ilmu kewangan?

* cara untuk menguruskan duit - cara-cara untuk jimat, simpan dan labur

c) Apa itu kesedaran kewangan?

* macam mana nak praktikkan cara urus duit - bila dan bagaimana bole jimat, simpan dan labur


Bagaimana untuk memberitahu kanak-kanak supaya mereka faham sekaligus memastikan objektif untuk mempunyai simpanan tercapai? :) Lakukan dengan kreativiti. Manusia sentiasa tertarik dengan cerita2 yang berakhir dengan kegembiraan.