Matlamat kewangan saya adalah untuk mencapai kebebasan kewangan. Saya mempunyai pelbagai sebab untuk mencapai matlamat tersebut termasuklah kerana Ketenangan, ingin menumpukan perhatian kepada keluarga, dan sebagainya.
Di atara perkara penting yang perlu saya lakukan ntuk mencapai kebebasan kewangan termasuklah pengurusan kewangan. Jika saya gagal mengurus kewangan saya dengan baik, maka saya telah berada di landasan yang betul untuk gagal. Sebaliknya, jika saya berjaya mengurus kewangan saya dengan baik, insyaAllah saya akan berada di landasan yang betul untuk mencapai kebebasan kewangan.
Pengurusan Kewangan Peribadi
Saya masih lagi belajar cara-cara menguruskan kewangan sendiri (dan keluarga). Sambil belajar, saya mempraktikkan mana-mana cara yang sesuai dan (mudah) untuk saya. Setakat ini, saya mempunyai pelan matlamat kewangan untuk merancang, dan bajet peribadi harian untuk memantau perbelanjaan saya, di samping mempunyai pelaburan di dalam ASB (salah satu cara untuk menjana pendapatan), dan mengamalkan konsep beringat sebelum habis (bahasa mudahnya berjimat cermat).
Pelan Matlamat Kewangan
Saya menggunakan pelan ini untuk merancang, menjangka dan juga sebagai peringatan kepada saya tentang perkara-perkara yang perlu dilakukan pada masa hadapan dan melibatkan perbelanjaan yang besar. Saya menggunakan perisian Microsoft© Excel untuk pelan saya ini kerana ia memudahkan dan menjimatkan kertas (Sumber rujukan : Website Pelabur Malaysia). Pelan saya ini terbahagi kepada 4 iaitu:-
a) matlamat jangka pendek (untuk tempoh 1 tahun)
b) matlamat jangka sederhana (untuk tempoh 1-3 tahun)
c) matlamat jangka panjang (untuk tempoh 3-5 tahun)
d) matlamat jangka lama (untuk tempoh melebihi 5 tahun).
Di dalam pelan ini, saya memasukkan matlamat kewangan saya, tarikh sasaran, anggaran kos, jumlah (wang yang telah) disimpan dan punca pendapatan (untuk membiayai matlamat kewangan). Apa-apa matlamat yang ingin dicapai, saya akan masukkannya bersama-sama butir-butiran secara kasar (sebelum berbincang dengan isteri saya) :)
Berikut ialah gambaran pelan matlamat kewangan yang saya gunakan,
Nota kaki: Oleh kerana pelan ini adalah pelan untuk merancang, saya mempunyai kelonggaran untuk menjadikannya fleksibel, terutamanya berkaitan dengan tarikh sasaran dan anggaran kos.
Bajet Peribadi Harian
Untuk memantau perbelanjaan, saya menggunakan perisian bajet peribadi harian (Microsoft© Excel) yang saya olah sendiri (untuk disesuaikan dengan keperluan sendiri) dan juga buku 555 (untuk membantu mencatat perbelanjaan saya sebelum dimasukkan ke perisian bajet peribadi harian). Saya akan mengenal pasti jenis perbelanjaan yang diperlukan pada setiap bulan menjelang tarikh gaji sebelum menetapkan nilai maksimum untuk setiap keperluan. Ini perlu dilakukan untuk menetapkan had perbelanjaan dan memanfaatkan sebaik mungkin konsep berjimat cermat. Fleksibel masih lagi kata kunci yang saya gunakan untuk memastikan saya boleh bertindak balas dengan keadaan semasa bila diperlukan.
Buat masa ini, saya masih dalam proses mendapatkan gambaran yang jelas tentang pola perbelanjaan saya dan keluarga. Untuk setiap sen yang saya keluarkan, saya akan mencatatkannya dengan tepat di dalam buku 555 sebelum saya pindahkan ke dalam perisian bajet peribadi. Ini untuk mengelakkan masalah terlupa dan juga mengurangkan beban otak untuk mengingat setiap maklumat, sekaligus mengurangkan tekanan yang tidak diperlukan.
Berikut ialah gambaran bajet peribadi harian saya,
Saya dapat melihat dengan jelas pola perbelanjaan saya berpandukan angka-angka dan carta yang dihasilkan oleh perisian Microsoft© Excel. Berdasarkan pola perbelanjaan saya, saya dapat memantau dan mengawal perbelanjaan saya supaya menepati bajet yang telah dirancang, seterusnya merancang tindakan berkaitan yang seterusnya.
Amal Konsep Jimat Cermat Dan Sedekah/Zakat
Selain dari mempunyai perancangan dan membuat pemantauan, sikap berjimat cermat perlu dikombinasikan semasa mengatur kewangan harian untuk mendapatkan keputusan optimum. Kebaikan konsep berjimat cermat terlalu banyak dan boleh dikatakan antara pengetahuan umum yang paling diketahui umum. Untuk mendapatkan tips cara-cara berjimat, sila ke pautan ini.
Selain dari saranan dan tuntutan Islam, sedekah dan zakat dapat membersihkan hati kita dan menjadikan kita mempunyai sikap bertolak ansur terhadap orang lain. Sedangkan orang yang bukan Islam seperti Bill Gates (mempunyai badan dan dana khas) pun menderma, inikan pula kita sebagai Muslim yang dijanjikan ganjaran dunia dan akhirat apabila bersedekah. InsyaAllah bersama-samalah kita menyahut tuntutan Islam yang mulia ini.
Kesimpulan
Pengurusan kewangan meliputi pelbagai aspek. Dari merancang, memantau, mengambil tindakan, membuat keputusan, menganalisa hasil tindakan, hinggalah kepada memperbaikinya. Sekiranya gagal dalam menguruskan kewangan dengan baik, sesungguhnya seseorang itu telah berada di landasan yang betul untuk gagal. Sebaliknya, apabila seseorang itu berjaya mengurus kewangannya dengan baik, insyaAllah dia akan berada di landasan yang betul untuk mencapai kebebasan kewangan.
Selain dari perancangan, sikap juga akan mempengaruhi hasil tindakan kita. Tanpa sikap berjimat cermmat adalah agak sukar untuk membantu mencapai kebebasan kewangan walaupun mempunyai pendapatan yang sangat besar. Mengamalkan bersedekah dan berzakat juga mempunyai kesan yang baik terhadap cara kita mengingati kesusahan dan penderitaan orang lain yang sedang diuji dengan kesusahan hidup di dunia yang fana ini.
(Nota tuntutan: Saya tidak mengilhamkan atau memulakan mana-mana idea di atas. saya cuma menyesuaikan maklumat-maklumat yang saya perolehi dari pelbagai sumber dan menterjemahkan sebahagiannya ke dalam perisian Microsoft© Excel dan sebahagian lagi sebagai aplikasi harian.)
Friday, November 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment