Advert Board

Saturday, November 8, 2008

PROFIL PELABUR

Setiap manusia mempunyai profil atau latar belakang. Profil adalah sesuatu yang luas dan relatif tetapi ia boleh dikategorikan mengikut kesesuaian dan tujuan. Berdasarkan profil, ia dapat membantu kita dalam membuat penilaian terhadap seseorang tetapi ia tidak bererti itu sebagai jaminan positif atau negatif.

Contoh Mudah

Kita ambil satu contoh yang mudah, iaitu profil seorang pemain bola. Setiap pemain bola mempunyai profil yang berkaitan dengan mutu permainannya. Contohnya, kelajuan berlari, kekuatan, stamina, tendangan, tandukan, bentesan, dan sebagainya. Dari profil tersebut kita dapat mengagak kemampuan seorang pemain.

Contoh Kompleks

Sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana majikan untuk membuatkan penilaian ke atas mana-mana calon sebelum ditemuduga berdasarkan resume (atau "curricular vitae") yang dihantar. Resume tersebut mempunyai profil seseorang calon dan kebiasaannya, majikan berpengalaman dapat membuat penilaian kasar seseorang calon berdasarkan resume tersebut. Kebiasaannya, resume akan mengandungi profil seperti maklumat untuk dihubungi, latar belakang pendidikan, pencapaian, keahlian dalam mana-mana badan, latihan-latihan yang pernah diikuti, dan sebagainya.

Profil Pelabur

Begitu juga halnya dengan seorang pelabur. Seorang pelabur juga mempunyai profil. Profil seorang pelabur ialah batasan risiko yang sanggup diambil dalam membuat sebarang pelaburan.

Ujian Mudah

Ujian mudah untuk menentukan batasan risiko ini ialah "Ujian Tidur Malam". Cuba bayangkan adakah anda mampu untuk tidur malam dengan mudah apabila membuat sesuatu pelaburan. Tapi ketepatan ujian ini adalah sangat relatif bagi orang baru kerana agak sukar untuk menghayati sepenuhnya ujian ini tanpa sebarang pengalaman sebenar. *nota kaki: ujian ini bukan ilham saya. saya pun cuma menggunakan semula apa yang saya pernah baca. maaf sekiranya saya telah menukar nama ujian ini kerana saya malas nak mencari semula artikel tersebut :)

Kesimpulan

Selepas mempunyai wang melebihi simpanan minimum (juga bergantung kepada profil, di antara 3-12 bulan) dan mempunyai ilmu asas berkenaan pelaburan yang ingin diceburi (contohnya saham, saham amanah, hartanah, pertanian, dll), silalah menilai semula profil anda sebagai seorang pelabur supaya anda tidak tertekan dan dapat menikmati hidup di samping mencari bekalan untuk akhirat kelak.

LIFE IS SHORT :)


Pada masa artikel ini ditulis, profil penulis adalah KONSERVATIF (atau dalam bahasa mudahnya akan mengalami sakit kepala sekiranya kehilangan walau sedikit modal pelaburan). Untuk menyesuaikan dengan profil ini, penulis hanya mempunyai ASB sebagai tempat untuk menyimpan duit dan memberanakkan duit. Pelan-pelan jangka masa pendek penulis ialah memohon Overdraft yang bersandarkan ASB (untuk meningkatkan liquidity modal) dan mendapatkan perlindungan takaful yang relevan.

No comments:

Post a Comment