Advert Board

Tuesday, October 13, 2009

8 Kelebihan Mempunyai Pengurusan Kewangan Yang Baik

Senarai 8 Kelebihan Mempunyai Pengurusan Kewangan Yang Baik:
1. Memastikan Wang (REZEKI) Yang Ada Mencukupi
2. Mengelakkan Pembaziran
3. Menghadapi Musibah dan Kesulitan
4. Mewujudkan Simpanan Untuk Membina Kekayaan
5. Mencapai Matlamat dan Hajat
6. Mengurangkan Kebergantungan Kepada Orang Lain
7. Membantu Orang Lain Yang Sangat Memerlukan
8. Menjadi Seorang Muslim Yang Cemerlang

Perbincangan

1. Memastikan Wang (REZEKI) Yang Ada Mencukupi

Setiap Muslim telah diberikan rezeki yang mencukupi (walaupun nilainya berbeza-beza) oleh Allah SWT. Yang membezakan setiap individu adalah cara mereka berbelanja (menggunakan rezeki yang diperolehi untuk mendapatkan sesuatu) dan menguruskan rezeki mereka. Rezeki di sini termasuklah wang, harta, masa dan tenaga.

Analoginya, Ahmad dan Ali mendapat gaji harian RM50.00 setiap seorang. Setiap hari, Ahmad akan membelanjakan RM15.00 keperluan hariannya termasuk makan dan minyak. Bakinya sebanyak RM35.00 akan disimpan untuk kegunaan masa hadapan. Ali pula akan membelanjakan RM40.00 setiap hari demi memuaskan kehendak hatinya. Baki RM10.00 pula akan dikumpulkan untuk dihabiskan pada hujung minggu.

Siapakah yang lebih bijak berbelanja dan menguruskan rezeki mereka?

2. Mengelakkan Pembaziran

Setiap seorang manusia di muka bumi ini, Allah telah mengurniakan akal dan nafsu.
Apabila kita mengutamakan akal berbanding nafsu, InsyaAllah selamat. Sebaliknya, apabila nafsu diutamakan, pelbagai musibah termasuk pembaziran bakal berlaku. Seorang Muslim yang menggunakan akal untuk berbelanja, insyaAllah dapat mengelakkan pembaziran.

Analoginya, makan sepinggan nasi berlaukkan sesenduk sayur dan seekor ikan, insyaAllah kenyang bukan?Makan 2 set makanan yang sama juga mengenyangkan kita bukan, malah mungkin kita tidak mampu menghabiskannya.

3. Menghadapi Musibah dan Kesulitan

Setiap Muslim akan diuji, setara dengan kesanggupannya, itu adalah firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat yang terakhir. Adakah kita memerlukan seorang manusia yang lain untuk memberitahu kita semula akan kepentingan untuk bersedia bagi menghadapi mana-mana musibah, walaupun telah ada firman Allah di dalam Al-Quran?

Sekurang-kurangnya, persiapkanlah diri kita semampu mungkin untuk mewujudkan TABUNG KECEMASAN bagi kita dan keluarga kita. Lain-lain hal adalah urusan Allah.

4. Mewujudkan Simpanan Untuk Membina Kekayaan

Syarat asas untuk membina kekayaan adalah dengan menyimpan. Tanpa disiplin dan komitmen, adalah sangat sukar untuk menyimpan.

Analoginya, Abu dibayar sebanyak RM2,000.00 setiap bulan sebagai seorang eksekutif muda. Seiap bulan, Abu mampu mendisiplinkan dirinya untuk menyimpan RM1,000.00. Setelah 2 tahun, simpanannya telah mencapai nilai RM24,000.00.

Ahmad dibayar gaji sebanyak RM3,000.00 pada setiap bulan sebagai seorang eksekutif muda. Berbanding Abu, Ahmad hanya mampu menyimpan wang gajinya sebanyak RM100.00, itupun kadang-kadang dia terpaksa mengeluarkan wang tersebut untuk menampung perbelanjaannya yang sgt tinggi. Setelah 2 tahun, simpanannya hanya mencapai nilai RM2,000.00 (kerana beliau telah mengeluarkan wang simpanannya sebanyak 2 kali dalam tempoh 2 tahun tersebut).

Yang mana mampu membina kekayaan? Abu atau Ahmad?

5. Mencapai Matlamat dan Hajat

Manusia mempunya matlamat dan hajat yang berlainan. Ada yang ingin mempunyai rumah besar, ada yang ingin mengelilingi dunia, ada juga yang ingin membuka rumah anak-anak yatim.

Apa sekalipun matlamat dan hajat mereka, mereka memerlukan modal untuk bermula, terutamanya wang ringgit. Untuk menggunakan tandas awam pun kita perlu membayar 20 sen @ 30 sen. Hatta, sesetengah tandas ada yang mengenakan caj lebih tinggi. Tandas yang percuma biasanya daif keadaannya.

6. Mengurangkan kebergantungan Kepada Orang Lain

Tidak dinafikan manusia memang bergantung kepada Allah SWT untuk hidup. Itu satu perkara utama. Ini adalah perkara yang seterusnya, iaitu kebergantungan kepada orang lain. Hampir mustahil untuk menghilangkan sepenuhnya kebergantungan itu, tapi, insyaAllah boleh diminimumkan apabila kita mempunyai pengurusan kewangan yang baik. Setuju?

7. Membantu Orang Lain Yang Sangat Memerlukan

Konsep zakat dan Sedekah adalah kunci kepada perkara ini. Di samping merapatkan silaturrahim, saham akhirat pon insyaAllah dapat. InsyaAllah Allah akan memberkati hidup kita dan melipatgandakan lagi rezeki yang kita keluarkan untuk zakat dan sedekah tersebut.

Zakat tu, Rukun Islam yang ketiga tu....

8. Menjadi Seorang Muslim Yang Cemerlang

Apabila kita mampu menguruskan salah satu aspek yang penting dalam kehidupan harian kita, iaitu kewangan, insyaAllah kita dalam landasan yang betul untuk menjadi seorang Muslim yang cemerlang. Sebelum mampu menguruskan orang lain, elok juga kita mempraktikkan pegurusan yang betul ke atas diri sendiri.

Penutup

Semua "point" di atas bukanlah senarai yang mutakhir. Itu adalah di antara kebaikan-kebaikan yang insyaAllah kita perolehi dengan mempunyai pengurusan kewangan yang baik. Kita perlu menguruskan sesuatu perkara dengan baik untuk mendapatkan hasil yang baik. InsyaAllah bantuan dari Allah akan datang. Sama-samalah kita berusaha.


CAIYO, CAIYO.

1 comment:

  1. satu pandangan yang bagus dan holistik. selalu kita menguruswang untuk lebih kaya dan kaya dan mengabaikan hak yang sepatutnya. terima kasih untuk penulisan yang bermanfaat!

    ReplyDelete