Advert Board

Friday, November 14, 2008

Pengurusan Kewangan

Matlamat kewangan saya adalah untuk mencapai kebebasan kewangan. Saya mempunyai pelbagai sebab untuk mencapai matlamat tersebut termasuklah kerana Ketenangan, ingin menumpukan perhatian kepada keluarga, dan sebagainya.

Di atara perkara penting yang perlu saya lakukan ntuk mencapai kebebasan kewangan termasuklah pengurusan kewangan. Jika saya gagal mengurus kewangan saya dengan baik, maka saya telah berada di landasan yang betul untuk gagal. Sebaliknya, jika saya berjaya mengurus kewangan saya dengan baik, insyaAllah saya akan berada di landasan yang betul untuk mencapai kebebasan kewangan.

Pengurusan Kewangan Peribadi

Saya masih lagi belajar cara-cara menguruskan kewangan sendiri (dan keluarga). Sambil belajar, saya mempraktikkan mana-mana cara yang sesuai dan (mudah) untuk saya. Setakat ini, saya mempunyai pelan matlamat kewangan untuk merancang, dan bajet peribadi harian untuk memantau perbelanjaan saya, di samping mempunyai pelaburan di dalam ASB (salah satu cara untuk menjana pendapatan), dan mengamalkan konsep beringat sebelum habis (bahasa mudahnya berjimat cermat).

Pelan Matlamat Kewangan

Saya menggunakan pelan ini untuk merancang, menjangka dan juga sebagai peringatan kepada saya tentang perkara-perkara yang perlu dilakukan pada masa hadapan dan melibatkan perbelanjaan yang besar. Saya menggunakan perisian Microsoft© Excel untuk pelan saya ini kerana ia memudahkan dan menjimatkan kertas (Sumber rujukan : Website Pelabur Malaysia). Pelan saya ini terbahagi kepada 4 iaitu:-

a) matlamat jangka pendek (untuk tempoh 1 tahun)
b) matlamat jangka sederhana (untuk tempoh 1-3 tahun)
c) matlamat jangka panjang (untuk tempoh 3-5 tahun)
d) matlamat jangka lama (untuk tempoh melebihi 5 tahun).

Di dalam pelan ini, saya memasukkan matlamat kewangan saya, tarikh sasaran, anggaran kos, jumlah (wang yang telah) disimpan dan punca pendapatan (untuk membiayai matlamat kewangan). Apa-apa matlamat yang ingin dicapai, saya akan masukkannya bersama-sama butir-butiran secara kasar (sebelum berbincang dengan isteri saya) :)

Berikut ialah gambaran pelan matlamat kewangan yang saya gunakan,



Nota kaki: Oleh kerana pelan ini adalah pelan untuk merancang, saya mempunyai kelonggaran untuk menjadikannya fleksibel, terutamanya berkaitan dengan tarikh sasaran dan anggaran kos.

Bajet Peribadi Harian

Untuk memantau perbelanjaan, saya menggunakan perisian bajet peribadi harian (Microsoft© Excel) yang saya olah sendiri (untuk disesuaikan dengan keperluan sendiri) dan juga buku 555 (untuk membantu mencatat perbelanjaan saya sebelum dimasukkan ke perisian bajet peribadi harian). Saya akan mengenal pasti jenis perbelanjaan yang diperlukan pada setiap bulan menjelang tarikh gaji sebelum menetapkan nilai maksimum untuk setiap keperluan. Ini perlu dilakukan untuk menetapkan had perbelanjaan dan memanfaatkan sebaik mungkin konsep berjimat cermat. Fleksibel masih lagi kata kunci yang saya gunakan untuk memastikan saya boleh bertindak balas dengan keadaan semasa bila diperlukan.

Buat masa ini, saya masih dalam proses mendapatkan gambaran yang jelas tentang pola perbelanjaan saya dan keluarga. Untuk setiap sen yang saya keluarkan, saya akan mencatatkannya dengan tepat di dalam buku 555 sebelum saya pindahkan ke dalam perisian bajet peribadi. Ini untuk mengelakkan masalah terlupa dan juga mengurangkan beban otak untuk mengingat setiap maklumat, sekaligus mengurangkan tekanan yang tidak diperlukan.

Berikut ialah gambaran bajet peribadi harian saya,



Saya dapat melihat dengan jelas pola perbelanjaan saya berpandukan angka-angka dan carta yang dihasilkan oleh perisian Microsoft© Excel. Berdasarkan pola perbelanjaan saya, saya dapat memantau dan mengawal perbelanjaan saya supaya menepati bajet yang telah dirancang, seterusnya merancang tindakan berkaitan yang seterusnya.

Amal Konsep Jimat Cermat Dan Sedekah/Zakat

Selain dari mempunyai perancangan dan membuat pemantauan, sikap berjimat cermat perlu dikombinasikan semasa mengatur kewangan harian untuk mendapatkan keputusan optimum. Kebaikan konsep berjimat cermat terlalu banyak dan boleh dikatakan antara pengetahuan umum yang paling diketahui umum. Untuk mendapatkan tips cara-cara berjimat, sila ke pautan ini.

Selain dari saranan dan tuntutan Islam, sedekah dan zakat dapat membersihkan hati kita dan menjadikan kita mempunyai sikap bertolak ansur terhadap orang lain. Sedangkan orang yang bukan Islam seperti Bill Gates (mempunyai badan dan dana khas) pun menderma, inikan pula kita sebagai Muslim yang dijanjikan ganjaran dunia dan akhirat apabila bersedekah. InsyaAllah bersama-samalah kita menyahut tuntutan Islam yang mulia ini.

Kesimpulan

Pengurusan kewangan meliputi pelbagai aspek. Dari merancang, memantau, mengambil tindakan, membuat keputusan, menganalisa hasil tindakan, hinggalah kepada memperbaikinya. Sekiranya gagal dalam menguruskan kewangan dengan baik, sesungguhnya seseorang itu telah berada di landasan yang betul untuk gagal. Sebaliknya, apabila seseorang itu berjaya mengurus kewangannya dengan baik, insyaAllah dia akan berada di landasan yang betul untuk mencapai kebebasan kewangan.

Selain dari perancangan, sikap juga akan mempengaruhi hasil tindakan kita. Tanpa sikap berjimat cermmat adalah agak sukar untuk membantu mencapai kebebasan kewangan walaupun mempunyai pendapatan yang sangat besar. Mengamalkan bersedekah dan berzakat juga mempunyai kesan yang baik terhadap cara kita mengingati kesusahan dan penderitaan orang lain yang sedang diuji dengan kesusahan hidup di dunia yang fana ini.



(Nota tuntutan: Saya tidak mengilhamkan atau memulakan mana-mana idea di atas. saya cuma menyesuaikan maklumat-maklumat yang saya perolehi dari pelbagai sumber dan menterjemahkan sebahagiannya ke dalam perisian Microsoft© Excel dan sebahagian lagi sebagai aplikasi harian.)

Tuesday, November 11, 2008

ASB & Konsep "Compounding"

[edit on 17 Nov 09 : update cara pengiraan dividen ASB]

Saya ingin berkongsi Konsep pengiraan dividen dan bonus ASB. Tetapi ini hanyalah kiraan kasar dan tiada jaminan kiraan ini tepat. Perlu diingat bahawa hanya Perbadanan Nasional Berhad (PNB) sahaja mengetahui kiraan sebenar dividen dan bonus ASB. Walau bagaimanapun, Kiraan kasar ini boleh digunakan untuk membuat simulasi menggunakan perisian Microsoft Excel sebagai panduan persendirian.

Dividen ASB

[edit on 9 Dis 09 : monthly rest, not monthly compounding]

Konsep asas pengiraan dividen ASB ialah konsep "monthly rest" untuk baki terendah dalam setiap bulan. Perlu diingat bahawa pemberian dividen ini hanyalah dilakukan sekali untuk setiap tahun, iaitu pada bulan Januari. Ini bermaksud, nilai dividen yang diumumkan perlu dibahagikan kepada 12 (12 bulan), dan didarab dengan baki terendah bagi setiap bulan (bulan januari hingga disember), sebelum dijumlahkan bermula dari januari hingga disember.

Sebagai contoh, katakan kadar dividen bagi tahun 2009 diumumkan sebanyak 8%, dan berikut ialah nilai pelaburan anda dari Januari 2009 sehingga Disember 2009,

Jan 09, Baki tertinggi: RM5000, Baki terendah: RM4000
Feb 09, Baki tertinggi: RM7000, Baki terendah: RM4500
Mac 09, Baki tertinggi: RM6000, Baki terendah: RM5500
Apr 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Mei 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Jun 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Jul 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Ogo 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Sep 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Okt 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Nov 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Dis 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000

Maka, pengiraan dividen berdasarkan baki terendah setiap bulan (pada kadar dividen 8%) adalah seperti berikut,

[edit 17 Nov 09 : cara pengiraan mengikut penyata ASB 2008]
Dividen ASB
= (jumlah baki terendah setiap bulan)/12*0.08
= (4000+4500+5500+8000+8000+8000+8000+8000+8000+8000+8000+8000)/12*0.08
= RM573.33

[edit 17 Nov 09 : hide]
Jan 09, Baki terendah: RM4000, Dividen=4000*(0.08)/12=26.67
Feb 09, Baki terendah: RM4500, Dividen=4500*(0.08)/12=30.00
Mac 09, Baki terendah: RM5500, Dividen=5500*(0.08)/12=36.67
Apr 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Mei 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Jun 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Jul 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Ogo 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Sep 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Okt 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Nov 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33
Dis 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.08)/12=53.33

Dengan itu, jumlah dividen yang diperolehi bagi tahun 2009 ialah RM573.31.


Bonus ASB

ASB juga ada memberikan bonus, yang menggunakan konsep "monthly compounding", tetapi nilai yang diberikan ialah untuk tempoh sepuluh (10) tahun. Ini bermaksud, nilai bonus yang diumumkan perlu dibahagikan dengan 120 (10 tahun mempunyai 120 bulan), dan perlu didarab dengan baki terendah bagi setiap bulan, sebelum dijumlahkan bermula dari januari hingga disember. Pemberian bonus juga dilakukan serentak dengan pemberian dividen iaitu pada bulan Januari setiap tahun.

Mari lihat contoh berikut, katakan kadar dividen bagi tahun 2009 diumumkan sebanyak 1%, dan dengan kadar simpanan yang sama untuk kes dividen ASB sebelum ini,

Jan 09, Baki tertinggi: RM5000, Baki terendah: RM4000
Feb 09, Baki tertinggi: RM7000, Baki terendah: RM4500
Mac 09, Baki tertinggi: RM6000, Baki terendah: RM5500
Apr 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Mei 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Jun 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Jul 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Ogo 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Sep 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Okt 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Nov 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000
Dis 09, Baki tertinggi: RM8000, Baki terendah: RM8000

Maka, pengiraan bonus ASB berdasarkan baki terendah setiap bulan (pada kadar dividen 1%) adalah seperti berikut,

Jan 09, Baki terendah: RM4000, Dividen=4000*(0.01)/120=0.33
Feb 09, Baki terendah: RM4500, Dividen=4500*(0.01)/120=0.38
Mac 09, Baki terendah: RM5500, Dividen=5500*(0.01)/120=0.46
Apr 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Mei 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Jun 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Jul 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Ogo 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Sep 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Okt 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Nov 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67
Dis 09, Baki terendah: RM8000, Dividen=8000*(0.01)/120=0.67

Dengan itu, jumlah dividen yang diperolehi bagi tahun 2009 ialah RM7.20.

Walau bagaimanapun, saya tidak mengetahui sama ada terdapat sebarang syarat tertentu untuk melayakkan seseorang pencarum mendapatkan bonus tersebut.

Penutup

Suka untuk saya mengingatkan sekali lagi bahawa kiraan di atas hanyalah kiraan kasar dan tiada jaminan kiraan tersebut adalah tepat. Hanya Perbadanan Nasional Berhad (PNB) sahaja mengetahui kiraan sebenar dividen dan bonus ASB. Walau bagaimanapun, Kiraan kasar ini boleh digunakan untuk membuat simulasi menggunakan perisian Microsoft Excel sebagai panduan persendirian.

Terima kasih untuk sebarang komen terhadap kiraan kasar di atas. Saya juga amat mengalu-alukan sekiranya anda ingin berkongsi sebarang maklumat tambahan atau mungkin simulasi dividen dan bonus ASB anda sendiri.

SHARING IS CARING :)

Saturday, November 8, 2008

PROFIL PELABUR

Setiap manusia mempunyai profil atau latar belakang. Profil adalah sesuatu yang luas dan relatif tetapi ia boleh dikategorikan mengikut kesesuaian dan tujuan. Berdasarkan profil, ia dapat membantu kita dalam membuat penilaian terhadap seseorang tetapi ia tidak bererti itu sebagai jaminan positif atau negatif.

Contoh Mudah

Kita ambil satu contoh yang mudah, iaitu profil seorang pemain bola. Setiap pemain bola mempunyai profil yang berkaitan dengan mutu permainannya. Contohnya, kelajuan berlari, kekuatan, stamina, tendangan, tandukan, bentesan, dan sebagainya. Dari profil tersebut kita dapat mengagak kemampuan seorang pemain.

Contoh Kompleks

Sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana majikan untuk membuatkan penilaian ke atas mana-mana calon sebelum ditemuduga berdasarkan resume (atau "curricular vitae") yang dihantar. Resume tersebut mempunyai profil seseorang calon dan kebiasaannya, majikan berpengalaman dapat membuat penilaian kasar seseorang calon berdasarkan resume tersebut. Kebiasaannya, resume akan mengandungi profil seperti maklumat untuk dihubungi, latar belakang pendidikan, pencapaian, keahlian dalam mana-mana badan, latihan-latihan yang pernah diikuti, dan sebagainya.

Profil Pelabur

Begitu juga halnya dengan seorang pelabur. Seorang pelabur juga mempunyai profil. Profil seorang pelabur ialah batasan risiko yang sanggup diambil dalam membuat sebarang pelaburan.

Ujian Mudah

Ujian mudah untuk menentukan batasan risiko ini ialah "Ujian Tidur Malam". Cuba bayangkan adakah anda mampu untuk tidur malam dengan mudah apabila membuat sesuatu pelaburan. Tapi ketepatan ujian ini adalah sangat relatif bagi orang baru kerana agak sukar untuk menghayati sepenuhnya ujian ini tanpa sebarang pengalaman sebenar. *nota kaki: ujian ini bukan ilham saya. saya pun cuma menggunakan semula apa yang saya pernah baca. maaf sekiranya saya telah menukar nama ujian ini kerana saya malas nak mencari semula artikel tersebut :)

Kesimpulan

Selepas mempunyai wang melebihi simpanan minimum (juga bergantung kepada profil, di antara 3-12 bulan) dan mempunyai ilmu asas berkenaan pelaburan yang ingin diceburi (contohnya saham, saham amanah, hartanah, pertanian, dll), silalah menilai semula profil anda sebagai seorang pelabur supaya anda tidak tertekan dan dapat menikmati hidup di samping mencari bekalan untuk akhirat kelak.

LIFE IS SHORT :)


Pada masa artikel ini ditulis, profil penulis adalah KONSERVATIF (atau dalam bahasa mudahnya akan mengalami sakit kepala sekiranya kehilangan walau sedikit modal pelaburan). Untuk menyesuaikan dengan profil ini, penulis hanya mempunyai ASB sebagai tempat untuk menyimpan duit dan memberanakkan duit. Pelan-pelan jangka masa pendek penulis ialah memohon Overdraft yang bersandarkan ASB (untuk meningkatkan liquidity modal) dan mendapatkan perlindungan takaful yang relevan.

Sunday, November 2, 2008

2 Nov 08

Lebih Hadlaju (1 Nov 08)

oleh kerana telah dikatakan memandu melebihi had laju 30 km/j di dalam kawasan "plant", saya telah ditahan oleh 2 orang "Guard" warga tempatan. Walaupun tiada bukti yang dikemukan, kad (pengenalan pekerja) saya telah diambil dan saya telah diberi satu borang pertuduhan. Walaupun saya cuba untuk membela diri, mereka tidak melayan kata-kata saya barangkali kerana masalah bahasa. Saya telah diarahkan untuk pergi ke pejabat "guard" untuk tindakan selanjutnya.

Hasilnya, saya mendapat satu borang pertuduhan yang telah ditukar butiran pertuduhan. Pertuduhan terkini ialah tidak berhenti sepenuhnya ketika di jalan yang mempunyai papan tanda berhenti. Mungkin juga salah saya kerana saya selepas ditahan, saya menunjukkan tanda protes dengan memandu sedikit agresif.

Saya perlu mendapatkan tandatangan pengurus saya untuk mendapatkan semula kad tersebut. Tanpa kad tersebut, saya tidak boleh memasuki kawasan "plant".

Isu yang saya ingin utarakan di sini ialah hak untuk membela diri. Pada pendapat saya, walau apa pun yang terjadi, tertuduh perlu diberi peluang untuk membela diri. Tanpa bukti yang kukuh, pertuduhan yang dilemparkan adalah tidak adil. Tapi, inilah dunia.

Pulang Ke Tanah Air

Tinggal 24 hari lagi untuk saya pulang ke Malaysia pada 26 November 08. Tidak sabar rasanya.

Blog

Sekali lagi saya mengalami masalah untuk menulis di blog ini. Walau apa pun, terima kasih kepada asura (yang telah memberi komen di blog saya), pakdi (yang sering memberi input kepada saya) dan juga kepada semua pembaca yang telah singgah di blog ini. Sila singgah lagi.