Advert Board

Monday, August 25, 2008

Gambar Sayur & Cili - 24 Ogos 08

Ini pula gambar-gambar yang diambil pada 24 Ogos 2008. Juga menggunakan kamera Handphone 2 MP :)
Alhamdulillah, cili dan sayur (kangkung+kailan) dah semakin subur :)

Gambar Bunga-Bunga Cili Yang Mekar


2 Sekawan Pokok Cili


Kanan


Kiri



Kailan+Kangkung 1


Kailan+Kangkung 2


CILI-CILI?


Gambar Bunga-Bunga Cili Yang Mekar 2

Gambar Sayur & Cili - 13 Ogos 08

Saya nak berkongsi gambar-gambar hasil tani saya.
Gambar-gambar ni saya ambil pada 13 Ogos 08 :)
Tapi maaf lah ye sebab gambar "blur". Guna kamera Handphone 2 MP je :)

Gambar Hasil Cili Pertama.


Gambar Bunga-Bunga Cili Yang Mekar


Sayur Kailan


Sayur Kailan Lagi


Pokok Cili


2 Sekawan Pokok Cili


Lagi-Lagi Gambar Bunga-Bunga Cili Yang Mekar


Kailan+Kangkung

5 Cara Berkesan Untuk Berjimat

[UPDATE pada 12 MAY 2009!] Lagi 5 tips tambahan cara-cara berjimat, sila klik sini


Pertama sekali, saya ingin berkongsi e-books berkaitan penjimatan yang saya perolehi dari internet. Sila tinggalkan alamat e-mail anda di ruangan komen untuk mendapatkan e-books tersebut SECARA PERCUMA. Untuk bacaan lanjut, sila baca artikel ini sehingga habis, terima kasih :)

Kembali ke topik asal, selain dari cara-cara di dalam e-book tersebut(yang boleh dibaca kemudian), saya ingin menambahkan 5 cara berkesan untuk berjimat.

1. Penjimatan harian 1

Setiap hari, kita akan berbelanja. Kita berbelanja untuk barang-barang keperluan dapur, mengisi minyak, membeli buku, membeli suratkhabar, dan sebagainya. Tahukah anda, anda boleh mendapatkan penjimatan dengan membandingkan harga bagi sesuatu barang di antara beberapa buah kedai dan juga laman web jualan internet sebelum membuat keputusan pembelian sesuatu barang untuk mendapatkan nilai terendah? Pastikan anda melakukan perbandingan harga ini kerana anda yang untung. Setiap sen penjimatan ini bolehlah anda masukkan ke tabung anda. Walaupun kedengaran seperti tiada apa-apa, tetapi nilai penjimatan sebenar adalah tinggi. Bayangkan 40% penjimatan dari RM100. Fuh, RM40 tu.

2. Penjimatan Harian 2

Menebus mata ganjaran juga mampu menjimatkan anda. Selain BonusLink atau RealRewards, kad kredit juga mempunyai sistem mata ganjaran. Mungkin anda boleh menebus barang-barang keperluan anda dari mata ganjaran ini untuk lebih penjimatan.

3. Penjimatan Harian 3

Selain membeli barang pada harga terendah, penjimatan juga boleh dilakukan dengan menghasilkan sendiri barang-barang keperluan harian. Paling mudah adalah bercucuk tanam.
Siapa kata tinggal di apartment atau rumah flat tidak boleh bercucuk tanam? Gunakan beg plastik beras 10kg anda. Bagaimana? Tebuk lubang-lubang kecil untuk pengudaraan dan aliran air keluar pada beg plastik tersebut. Kemudian isi tanah campuran tanah laterit dan tanah bakar di beg plastik tersebut (sila dapatkan nasihat pakar bagi nisbah tanah bagi keputusan terbaik). Tanamlah sayur-sayuran anda dan jagalah kadar siraman dan pembajaan (baja organik seperti baja tahi ayam atau baja tahi kambing boleh digunakan dan mudah didapati di “nursery” pokok hiasan dengan mudah) kerana tanah ini berbeza dari tanah di bumi. Setiap hasil tanaman anda boleh dimakan dan anda boleh memastikan penghasilannya tidak menggunakan bahan bukan organik.
Sekiranya rajin, anda mungkin boleh membela ikan keli di dalam akuarium sebagai tambahan sumber. Apabila anda mempunyai lebihan hasilan produk sara diri ini, jangan gusar untuk menjualnya ke mana-mana kedai yang mahu membelinya.

4. Penjimatan Harian 4

DIY atau “Do It Yourself” merupakan satu cara untuk berjimat. Anda boleh mencuci kereta sendiri, membetulkan paip di sinki dapur sendiri atau menjahit pakaian raya sendiri. Anda pasti akan berpuas hati dengan nilai yang anda mampu jimatkan dengan melakukan sendiri kerja-kerja yang ringkas. Tetapi awas, jangan jadi “seperti tikus membaiki labu”. Anda harus akui batas-batas pengetahuan dan keupayaan anda. Terima kasih kerana tidak membaiki apa-apa yang diluar pengetahuan dan keupayaan anda kerana sekiranya anda mungkin meningkatkan kadar kerosakan barang tersebut.

5. Penjimatan Harian 5

Ini adalah cara yang paling ekstrim. Tetapi bagi kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia, Britain, dan sebagainya, cara ini semakin diterima pakai terutamanya bagi pencinta alam. Menghasilkan elektrik sendiri dan mewujudkan keperluan air sendiri. Penghasilan elektrik yang semakin popular termasuklah penggunan panel solar, kincir angin individu dan sistem hidro mini. Bagi keperluan air sendiri pula, sistem empangan mini atau sistem tadahan air hujan (lengkap dengan sistem rawatan air) semakin diterima. Setiap sistem ini memerlukan modal permulaan yang tinggi, tetapi berpotensi untuk menjana pendapatan sekiranya mampu menjual bekalan elektrik atau air bersih lebihan kepada jiran-jiran. Ekstrim bukan, kerana jangan berangan-angan memilih cara ini sekiranya ilmu tidak mencukupi.

Penutup

Akhir kata, perlu diingat senarai ini dan e-book yang saya kirinkan bukanlah senarai mutakhir cara berjimat. Ini hanyalah SEBAHAGIAN sahaja dari cara-cara menyimpan duit. Anda perlu menggunakan kreativiti sendiri dan sesuaikan dengan keperluan anda.

UPDATE

UPDATE ON 12 MAY 2009! Lagi 5 tips tambahan cara-cara berjimat, sila klik sini

-----------------------------------------------------------------------------------------------

E-BOOK

Berikut ialah 3 buah e-books yang saya ingin kongsikan bersama:
1. 20 Cara Jimat Duit, karya Team RahsiaEBiz.com
2. Penjimatan Pemakanan Seharian, (tiada nama penulis di sini, tetapi bukan hasil kerja saya).
3. Jimatkan Perbelanjaan Kenderaan Seharian, (tiada nama penulis di sini, tetapi bukan hasil kerja saya).

Sekali lagi, sila tinggalkan alamat e-mail anda di ruangan komen untuk mendapatkan e-books tersebut SECARA PERCUMA

9 Cara Berkesan Menyimpan Duit

Langkah pertama menuju ke arah kebebasan kewangan ialah dengan menyimpan. Di mana-mana anda membaca, semuanya menegaskan perkara ini. Pernyataan-pernyataan, “Simpanlah wang anda”, “Menabunglah wang anda”, “Menabung adalah langkah pertama untuk melabur”, dan sebagainya.

Di sini, saya ingin berkongsi 9 cara berkesan menyimpan wang anda.

1. Peruntukkan suatu nilai tetap sebagai nilai simpanan bulanan

Cara utama untuk menabung ialah dengan menetapkan simpanan bulanan secara tetap dari pendapatan (atau wang saku/elaun bulanan bagi yang belum bekerja). Kebanyakan nasihat memilih 10% dari jumlah pendapatan bulanan sebagai nilai minimum. Lebih tinggi nilai simpanan adalah lebih bagus, tetapi pastikan anda telah menunaikan semua tanggungjawab anda terlebih dahulu.

2. Bonus tahunan/prestasi

Bonus merupakan sesuatu yang menggembirakan bagi setiap pekerja. Tanpa bonus, sebuah kompeni mungkin akan kehilangan pekerja-pekerja hebatnya. Tetapi, adakah berbaloi untuk menghabiskan semua wang bonus hasil susah payah anda selama setahun itu? Huhuhu. Apa kata anda songsangkan PRINSIP MEMBELANJAKAN WANG GAJI anda untuk diaplikasikan ke atas bajet wang bonus anda? Maksud saya, membelanjakan 10% sahaja dan bakinya sebanyak 90% disimpan :)

3. Elaun tambahan

Kebiasaannya, pekerja-pekerja yang perlu bekerja di luar pejabat akan diberikan elaun tambahan. Di antaranya termasuklah elaun minyak, tol, “mileage”, makan, dan sebagainya. Bukan senang untuk menguruskan wang elaun ini, kerana kebiasaannya anda perlu mengeluarkan belanja sendiri dahulu sebelum membuat tuntutan (atau “claim”) dari kompeni anda. Sesetengah kompeni akan membayar semula tuntutan tersebut selepas sebulan. Sebilangannya hanya akan membayar semula tuntutan tersebut hanya selepas dua bulan. Berhati-hati dengan elaun ini. PERUNTUKKAN DAHULU UNTUK KEGUNAAN BULAN BERIKUTNYA BAGI KEGUNAAN TUGASAN LUAR PEJABAT DARI NILAI TUNTUTAN ELAUN YANG DITERIMA SEBELUM ANDA MENYIMPAN. Tiada gunanya sekiranya anda perlu meminjam wang orang lain kerana tujuan anda menyimpan adalah KEBEBASAN KEWANGAN.

4. Kenaikan gaji tahunan

Saban tahun, kebanyakan syarikat akan menghadiahkan kenaikan gaji tahunan bagi pekerja-pekerjanya. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mentaksirkan semula bajet perbelanjaan bulanan anda untuk disesuaikan dengan gaji baru anda. Idealnya, simpan semua kenaikan gaji anda. Tetapi, dalam dunia sebenar, berikanlah sedikit ruang untuk anda merasai dan menikmati kenikmatan kenaikan gaji tersebut. Anda memerlukan motivasi untuk terus kekal menabung. Peruntukkanlah sebahagian kecil wang anda seperti menghadiahkan sehelai baju baru untuk diri anda sendiri 

5. Pendapatan tambahan

Menambah wang pendapatan sudah tentulah dapat menambahkan nilai tabungan, SEKIRANYA anda tidak menjolikan ksemua pendapatan tambahan tesebut. Cubalah berniaga kecil-kecilan (“online” atau “offline”) atau menjadi ejen insuran atau menjadi ejen Unit amanah (juga dikenali sebagai “unit trust”) sebagai langkah awal. Sekiranya anda berani, mempunyai modal besar, dan mempunyai ilmu, mungkin boleh melibatkan diri di dalam saham ekuiti, atau hartanah, atau mungkin juga pasaran hadapan.

6. Menyimpan setiap nilai penjimatan

Simpanlah setiap sen yang berjaya dijimatkan pada setiap kali anda berbelanja. Bagaimana untuk berjimat? Terlalu banyak cara. Sila klik di ini untuk bacaan lanjut.

7. Wang syiling

Hampir semua barang-barang yang dijual bukanlah bernilai genap RM seperti RM1 atau RM10. Kebanyakannya akan bernilai RM1.60, RM10.10, dan sebagainya. Setiap kali kita membuat pembayaran bagi barang-barang ini, kita akan diberi baki wang syiling. Dapatkan sekurang-kurangnya sebuah tabung (atau sebarang botol kosong) untuk dijadikan tabung bagi wang syiling tersebut. Sebagai kiraan mudah, ambil nilai RM0.50 sebagai nilai tabungan syiling harian. Darabkan dengan 30 hari, 0.50*30=RM15 bagi setiap bulan. Untuk setahun, darabkan dengan 12, 15*12=RM180. Hah, siapa nak bagi RM180 kepada anda?

8. Lebihan wang perbelanjaan bulanan

Setiap bulan, majikan akan membayar gaji pada satu tarikh yang tetap (mungkin lewat selama 2-3 hari, hehehe). Apabila sampai tarikh gaji masuk, periksa penyata kewangan anda untuk memeriksa jumlah lebihan wang perbelanjaan bulanan anda bagi bulan itu. Ucapkan syabas kepada diri anda kerana anda tidak menjolikan wang lebihan tersebut (menyimpanlah).

9. Bersedekah dan Bayar Zakat

Selain menabung, anda perlu ingat, tiada gunanya mempunyai wang yang banyak sekiranya IA AKAN MENJADI BEBAN DI AKHIRAT KELAK. Bayarlah zakat kerana ia WAJIB. Bersedakahlah kerana di dalam harta anda, Allah telah tetapkan rezeki untuk orang lain. Tetapi, adalah lebih AFDHAL untuk bersedakah kepada keluarga sendiri sebelum orang lain. Selain mendapat pahala sedekah, anda juga telah merapatkan tali silaturrahim sesama keluarga anda, insyaAllah. Jangan bimbang, sedekah dan zakat tidak akan mengurangkan wang anda kerana insyaAllah Allah akan melipatgandakan lagi rezeki anda dan memberkatinya. Amin Ya Allah.

Akhir kata, perlu diingat senarai ini bukanlah senarai mutakhir cara menyimpan duit. Ini hanyalah SEBAHAGIAN sahaja dari cara-cara menyimpan duit. Anda perlu menggunakan kreativiti sendiri dan sesuaikan dengan keperluan anda.

Thursday, August 21, 2008

Kompaun

Saya "frust". Tadi pergi ke Pejabat JPJ di Kompleks Pertama. Saya meletakkan motosikal di kaki lima. Selesai urusan di Pejabat JPJ, kelihatan "surat cinta" dari DBKL di dalam bakul motosikal saya. Mula-mula saya ingatkan "flyers". Nasib baik saya baca dulu, kalau tidak, renyuk dan buang la jawabnya :)

Kompaun tu mahal, RM100. Tapi ada sumber yang boleh dipercayai memberitahu, boleh minta diskaun. Hehehe. Salah saya jugak letak motosikal di kaki lima. Padan muka.

Terbang lagi duit :(

Pembelian Buku Online

Saya ingin berkongsi cerita sedikit mengenai pengalaman saya (PERTAMA KALI!) membeli buku melalui on-line . Pembelian tersebut adalah melalui Syarikat penerbitan buku Truth Wealth Sdn Bhd, milik En Azizi Ali, seorang penulis buku yang sangat terkenal. Di antara karya-karyanya yang mendapat sambutan termasuklah Jutawan Dari Planet Jupiter! dan Lahirnya Seorang Jutawan(sila klik sini untuk senarai penuh).

Pembelian

Tanggal 12 Ogos 2008, saya memesan 3 buah buku dari Truth Wealth walaupun ini adalah pertama kali saya membeli-belah secara on-line (tak termasuk lelongan atau pembelian e-book). Jumlah pembelian saya melalui website Truth wealth Sdn Bhd melibatkan jumlah wang sebanyak RM70. Sebenarnya saya sudah lama ingin membeli buku-buku tersebut (sebab saya selalu menjelajah kedai buku MPH untuk melihat-lihat buku-buku yang menarik minat saya), tetapi jumlah harga bagi ketiga-tiga buah buku agak mahal iaitu menghampiri RM130 (bagi saya mahal kerana.......hehehe, limited budget).

Wah, RM130-RM70=RM60. Penjimatan yang sangat besar. Mungkin Allah dah tentukan rezeki saya untuk berjimat sebanyak RM60. Tambahan pula, Truth Wealth Sdn Bhd menanggung semua belanja pos. Selesai membuat pembayaran Maybank2U, saya pun menunggu dengan agak sabar walaupun agak teruja (pertama kalilah katakan).

Keesokan harinya, iaitu pada 13 Ogos 2008,saya mendapat 2 e-mail dari Truth Wealth Sdn Bhd; satu ialah pemberitahuan penerimaan pembelian atau "Order Received Notification" dan satu lagi ialah Status Pesanan Buku atau "Status of Books Order". Pemprosesan pesanan saya mengambil masa selama satu hari. Baru saya tahu pembelian secara on-line mengambil masa yang agak panjang mungkin kerana pesanan-pesanan akan dikumpulkan sebelum diproses.

Penghantaran

Tanggal 14 Ogos 2008 saya telah mendapat e-mail mengenai buku-buku pesanan saya sudah dikirimkan melalui Pos Express. Saya telah diberikan kod rujukan kiriman tersebut untuk membolehkan saya memeriksanya melalui website Pos Malaysia. Wah, gembiranya saya. Tidak sabar rasanya untuk menerima buku-buku tersebut.

Penerimaan

Saya menghadapi sedikit masalah dalam proses penerimaan kiriman buku-buku saya. Saya hanya menerima kiriman tersebut pada 19 Ogos 2008 kerana salah faham walaupun Kiriman tersebut sudah tiba di alamat yang saya berikan (alamat pejabat) pada 15 Ogos 2008. Untuk meringkaskan coretan ini, saya tidak akan menceritakan usaha-usaha pencarian kiriman buku tersebut. Saya ingin berterima kasih kepada Pos Malaysia, Truth Wealth Sdn Bhd dan Kompeni saya sendiri kerana membantu saya untuk mengesan semula kiriman tersebut :)

Tajuk Buku & Diskaun

Sebelum saya terlupa, ingin saya kongsi sesuatu di sini, Truth Wealth Sdn Bhd akan memberikan diskaun pada masa-masa tertentu untuk setiap buku-buku terbitannya bagi pembelian secara online. Sebab itu jugalah saya dapat menjimatkan RM60 iaitu diskaun sebanyak 46% :) Berikut ialah senarai buku belian saya beserta harga asal:

a) Juara Lelongan Hartanah (RM39.90)
b) Bagaimana Hendak Menjadi Jutawan Hartanah (RM49.90)
c) Bagaimana Hendak Menjadi Tuan Rumah Jutawan (RM39.90)

Sila klik sini untuk senarai harga semasa (ada diskaun) buku-buku terbitan Truth Wealth Sdn Bhd bagi pembelian secara online.

Kongsi

Cadangan saya untuk pembelian buku. Sebelum membeli sesuatu buku, cuba bandingkan harga-harga buku tersebut di kedai-kedai buku dan juga di laman web. Mana tahu rezeki anda untuk mendapat harga diskaun yang sangat menguntungkan.

Satu lagi, untuk sebarang kiriman pos, Pos Ekspres adalah kiriman yang sangat tidak selamat kerana tidak memerlukan penerimanya menandatangi sebarang dokumen pengesahan. Untuk pilihan yang lebih selamat, gunakan khidmat Pos Laju atau khidmat kiriman "courier" swasta seperti Nationwide, Gedex, Fedex dan sebagainya kerana penerima perlu menandatangani dokumen pengesahan penerimaan dan penghantaran bungkusan kecil di dalam negara atau domestik hanya mengambil masa 2 hari bekerja (hantar harini, esok dapat, insyaAllah) sekiranya tiada masalah.

Friday, August 15, 2008

Emosi

Emosi saya kurang stabil. saya sendiri kurang pasti mengapa. Adakah kerana tekanan hidup atau tekanan kerja atau tekanan wang ringgit? Atau semuanya menyumbang sedikit sebanyak ketidakstabilan emosi saya? saya sendiri musykil.

Tetapi saya akui, dua tiga tahun kebelakangan ini, saya kurang membaca Al-Quran. Kelemahan saya ini memang tidak dapat disangkal menjadi antara penyumbang ketidakstabilan emosi saya :(

Saya juga agak pening memikirkan tentang pelaburan wang saya sejak kebelakangan ini. Oleh kerana wang saya agak terhad, jadi saya perlu berhati-hati dalam menggunakan sumber milik saya. Sudah nyata, buat masa ini, saya tergolong dlm golongan "conservative" atau "low-risk taker" kerana walaupun belum mula melabur, saya sudah takut akan sebarang kerugian.

Mungkin kerana ini juga, banyak nasihat dari orang-orang lama (sumber dari website dan blog-blog sahaja) yang menasihatkan untuk melabur HANYA wang lebihan selepas mempunyai tabungan sekurang-kurangnya menyamai perbelanjaan sebanyak 3 bulan terlebih dahulu (lagi banyak lagi bagus). Pelaburan memang sesuatu yang mencabar emosi saya (harap-harap hanya untuk setahun dua ini sahaja). Di kala kadar sara diri yang meningkat secara mendadak sejak 3 tahun kebelakangan ini, dirasakan amat mencabar walaupun untuk memenuhi keperluan minima.

Lagi satu, penggunaan kad kredit juga telah menyerabutkan pemikiran saya. Kad kredit memang boleh melengahkan sebarang bayaran SEHINGGA 20 hari (kalau betul cara penggunaan), tetapi juga telah menambah beban otak saya kerana saya tidak boleh terlupa sebarang hutang. Selepas hutang kad kredit sudah dibayar sebelum tarikh akhir, barulah otak saya mendapat sedikit ketenangan. Itupun hanya untuk beberapa hari sebelum saya menggunakan semula kad kredit tersebut (nota: saya guna kad kredit untuk bayar bil je, itupun sebab nak kumpul "treat point").

Tapi, semua itu hanya kemungkinan. Yang nyata, setiap manusia mempunyai perbezaan pemikiran dan keupayaan untuk menahan tekanan emosi. Semoga Allah menguatkan Iman saya, memurahkan rezeki yang halal kepada saya dan memberkati hidup saya; bersama keluarga saya, Amin Ya Allah :)

Thursday, August 14, 2008

Pengalaman menguruskan kewangan

Sekolah Menengah

Anda masih belajar di sekolah menengah. Sekarang berada di tingkatan tiga. Punca pendapatan
anda hanyalah wang saku mingguan sebanyak RM20. Tetapi anda telah banyak membaca buku-buku (dan blog-blog) pelaburan dan pengurusan kewangan. Anda terlalu teruja untuk mengaplikasikan ilmu anda. Tetapi bagaimana? Dengan sumber kewangan yang terhad dan di bawah umur (18 tahun), tidak banyak yang boleh dilakukan. Hendak menunggu sehingga cukup umur, boleh dikira agak lama, kira-kira 3 tahun. Itu belum kira kemampuan kewangan.

Universiti

Anda berumur 19 tahun. Dari segi umur, anda sudah layak untuk membuat keputusan sendiri. Berbekalkan ilmu hasil pembacaan buku-buku (dan blog-blog) pelaburan dan pengurusan kewangan, anda rasa dunia ini anda yang punya; SEKIRANYA anda boleh menjana pendapatan besar hasil dari pelaburan bijak anda. Berbekalkan duit biasaswa JPA sebanyak RM3500 setiap semester, anda mampu menabung sebanyak RM500 bagi setiap semester. Tetapi, anda tidak mampu menanggung sebarang risiko kerugian kerana pelaburan melibatkan risiko. Jadi bagaimana?

Baru Bekerja

Anda sudah bekerja selama 1 tahun. Berkat kesabaran anda membuat simpanan bulanan tetap sebanyak 10% (atau RM200), anda telah mempunyai jumlah simpanan sebanyak RM2400. TAHNIAH UNTUK ANDA. Anda juga mempunyai kesedaran kewangan dan sanggup untuk mengeluarkan sedikit simpanan sebagai modal untuk berniaga bagi pengembangan aset. Tetapi, anda tidak mahu menanggung sebarang risiko kerugian kerana simpanan anda masih belom berada dalam tahap selamat. Apa yang boleh dilakukan?

Pekerja Veteran

Anda paling terkenal di dalam pejabat kerana kemampuan anda menyiapkan semua kerja dalam masa yang ditetapkan. TABIK SPRING. Anda mempunyai jumlah simpanan yang mampan sebanyak RM20000. Tetapi anda masih tercari-cari arah, bagaimana hendak mengembangbiakkan wang anda. Anda buntu.

Cashflow

Anda boleh mulakan langkah seterusnya dengan permainan Cashflow. Permainan ini adalah permainan papan seperti catur dan monopoli tetapi berkonsepkan pengurusan kewangan. Sila klik di sini untuk maklumat lanjut berkaitan permainan ini.http://www.pakdi.my/blog/permainan-cashflow-101/

Untuk kesan yang lebih, anda boleh sertai bengkel Cashflow anjuran Pakdi. Sila klik di sini sebagai bacaan tambahan mengenai bengkel cashflow anjuran Pakdi.
http://www.pakdi.my/blog/category/game-cashflow/


nota kaki: saya juga masih belum berpeluang untuk menyertai bengkel permainan cashflow ini, sebab itu saya tidak boleh mengulas lebih lanjut, hehehehe. Tetapi saya sangat berazam untuk menyertainya untuk pengalaman sendiri.

Tuesday, August 5, 2008

Ulasan blog getrichslowly (oleh J.D. Roth)

Blog Pilihan

Saya amat tertarik dengan blog http://www.getrichslowly.org. Blog ini menekankan cara-cara menjadi kaya secara perlahan. Dibantu oleh kisah-kisah benar yang diolah menarik sebagai tauladan, blog ini banyak menekankan konsep simpanan dan konsep berjimat-cermat.

Suka untuk saya membawakan satu panduan ringkas hasil terjemahan ke Bahasa Malaysia dari blog tersebut (boleh dicapai di sini).

1. Tiga Langkah Bajet (Andrew Tobias, The Only Investment Guide You'll Ever Need):
a. Musnahkan semua kad kredit anda.
b. Labur 20% daripada pendapatan anda. Jangan sesekali menggunakan wang ini.
c. Hiduplah dengan baki 80% daripada pendapatan anda, tidak kira apa yang berlaku.

2. Bajet Bernilai Anda (Elizabeth Warren, All Your Worth)
a. 50% untuk keperluan (cukai, barang dapur, tempat tinggal, insurans, utiliti, pakaian asas).
b. 30% untuk kemahuan (pakaian tambahan, makan di restoran, permainan video, keperluan mengait, Percutian).
c. 20% untuk simpanan (termasuk pembayaran hutang).


3. Penyelesaian 60% (Richard Jenkins, MSN Money)

a. 60% untuk perbelanjaan wajib (Cukai, Makanan, Tempat Tinggal, Insurans, Utiliti, Pakaian).
b. 10% untuk perbelanjaan jarang-jarang (Percutian, Bil Perubatan, Kos Membaiki, Kelengkapan).
c. 10% untuk simpanan jangka panjang atau pembayaran hutang (Pinjaman Belajar, Kad Kredit, Simpanan untuk kereta, Wang Pendahuluan rumah).
d. 10% untuk Persaraan (401k atau Roth IRA-di Malaysia dipanggil KWSP atau EPF).
d. 10% untuk bergembira (boleh dibelanja sesuka hati).

4. 8 Langkah Ringkas Untuk Menguruskan Wang Anda:
a. Berbelanja Kurang dari pendapatan anda. Catat setiap sen yang dibelanjakan. Elakkan HUtang. Elakkan HUtang. Elakkan HUtang.
b. Hadiahkan diri anda dahulu. Sebelum anda membayar bil, sebelum anda membeli barang dapur, sebelum berbuat apa-apa, asingkan X% dari pendapatan anda (20% adalah pilihan yang baik).
c. Kesempurnaan adalah musuh. Usah bimbang untuk menjadikan sesuatu perkara itu sebetul-betulnya. Pilih pilihan terbaik dan usahakan sesuatu. sekiranya anda hanya boleh menyimpan 5%, simpanlah sebanyak 5%. Berbuat sesuatu lebih baik dari tidak berbuat apa-apa.
d. Buatlah sesuatu mengikut kesesuaian anda. Setiap manusia adalah berbeza. Sesuatu yang berkesan untuk seseorang tidak semestinya akan berkesan untuk orang lain. Tidak ada satu cara yang betul untuk menyimpan atau melabur atau membayar hutang atau membeli rumah.
e. Buatlah sesuatu perlahan-lahan. Orang yang paling berjaya adalah orang yang bekerja paling tekun dan paling gigih terhadap sesuatu yang paling disukainya. Mereka tidak mendapatkannya secara tiba-tiba. Bersabarlah dan berseronoklah dengan perjalanan tersebut.
f. Kegagalan adalah ok. Kita belajar dari kegagalan. Tidak pernah mencuba adalah lebih teruk dari gagal dalam mencuba sesuatu. Lebih baik mencuba dan gagal daripada tidak pernah mencuba. Gunakan kegagalan tersebut untuk belajar melakukan yang lebih baik pada masa hadapan.
g. Wang bukan pengiraan semata-mata; wang adalah cara berfikir. Semua orang memahami pengiraan. Hiduplah dengan gembira dan dalam kawalan; duit akan lebih mudah untuk diuruskan.
h. Kegembiraan adalah lebih penting daripada menjadi kaya. Tetapi wang boleh memberikan lebih banyak pilihan(untuk berbuat sesuatu) di dalam kehidupan.

Sejuta kemaafan sekiranya terjemahan yang diberikan agak kelakar. Apa yang penting bukan penyampaian, tetapi isi yang ingin disampaikan.

Selamat membaca dan semoga mengambil iktibar dari pengalaman orang lain.