Seperti yang saya senaraikan di dalam
blog kedai-e saya, sekarang saya ada berniaga kerepek secara kecil-kecilan. Saya bukanlah seperti orang lain, yang mempunyai modal yang besar dan pengalaman berniaga sejak kecil. Jadi, saya amat berbesar hati kerana Alhamdulillah saya telah berjaya memulakan perniagaan ini, sekaligus memberikan peluang kepada diri saya untuk mendapatkan pengalaman secara langsung dalam perniagaan. Semoga perniagaan kerepek ini dapat bertahan lama dan memberikan pendapatan sampingan kepada saya sekeluarga, Amin Ya Allah :)
Kerja-kerja yang saya lakukan adalah :a. Mencari peralatan-peralatan untuk membungkus kerepek.
b. Mencari bekalan kerepek yang sedap dan murah.
c. Membungkus kerepek.
d. Menjual kerepek.
e. Mencari pasaran.
f. Menjaga akaun.
Semua kerja-kerja di atas saya lakukan dengan melakukan kesilapan pada kali pertama, tetapi saya sangat gembira kerana mendapat pengalaman yang sangat berharga hasil dari pengalaman melakukan kesilapan tersebut. Di sini, saya ingin berkongsi cerita mengenai kesilapan-kesilapan yang pernah saya lakukan sebagai tatapan dan panduan bersama :)
Kesilapan pertama yang saya lakukan ialah pembelian "sealer" pada harga murah yang hanya mampu memberikan perkhidmatan selama 2 minggu sahaja. Akibatnya, saya hampir berputus asa kerana tanpa "sealer", saya akan menghadapi masalah yang sangat besar untuk membungkus. Alhamdulillah, dengan bantuan kakak ipar saya, saya berjaya mendapatkan "sealer" kualiti industri yang berkualiti. Walaupun harganya mahal, tetapi ia adalah aset yang sangat berharga.
Kesilapan kedua ialah membeli bekalan kerepek yang kurang sedap sehinggakan untuk menjual 2 bungkus setiap hari adalah sangat susah. Tanpa kerepek yang sedap, saya tiada modal untuk mencanangkan produk saya. Sebagai jalan keluar, saya terpaksa merantau lebih jauh untuk mencari bekalan kerepek. Alhamdulillah, sehingga hari ini, kerepek-kerepek saya mempunyai permintaan yang agak konsisten.
Kesilapan ketiga ialah membungkus kerepek tanpa menggunakan timbangan. Tanpa timbangan, masa yang saya peruntukkan untuk membungkus lebih lama, dan kuantiti setiap bungkusan amat berbeza. Selepas mendapatkan alat penimbang kualiti industri, Alhamdulillah kerja-kerja saya semakin mudah.
Kesilapan keempat ialah penetapan harga jualan. Pada mulanya, saya sukar untuk menentukan harga jualan bagi kerepek saya. Ini kerana saya tidak mempunyai alat timbang untuk mendapatkan maklumat yang tepat sebelum membuat kiraan. Selepas menggunakan alat timbang, Alhamdulillah saya dapat menjual kerepek pada harga yang agak kompetitif di samping kerepek yang berkualiti :D
Kesilapan kelima ialah saya tidak membuat akaun yang baik pada permulaan. Walaupun ini hanyalah kesilapan kecil, tetapi, untuk jangka masa panjang saya akan menghadapi masalah untuk mengawal aliran tunai perniagaan ini. Jadi, sekarang ini saya sudah menggunakan buku lejar untuk membuat akaun secara manual dan saya dapat memerhatikan aliran tunai perniagaan ini.
ps: kawan-kawan PMC yang ingin membuat pesanan kerepek, pesanan anda akan dihantar apabila ada aktiviti PMC i.e. TT, paintball, cuci rumah, etc.pps: kepada pembaca-pembaca yang berminat untuk membuat pesanan, sila hubungi saya :)keyword : pemborong kerepek, peniaga kerepek, pembekal kerepek, penjual kerepek, etc :)