Advert Board

Friday, January 23, 2009

Cashflow 101 Boardgame & Urusan Pembelian Lot Tanah

Cashflow 101 Boardgame

Alhamdulillah, saya sudah berjaya memiliki satu unit permainan ini. Saya sudah mencubanya tetapi hanya untuk memahamkan konsep (cuba pon sorang-sorang). Sesiapa yang berminat, boleh pergi ke blog ini untuk membelinya. Jangan risau, ini adalah "trader grade AAAAA+++". InsyaAllah tiada penipuan. Harga tawaran adalah RM350.

Saya akan update mana-mana kisah menarik sepanjang saya bermain permainan ini di blog ini nanti :) Komen peribadi saya, secara asasnya, permainan ini lebih terperinci dan lebih berhubungkait dengan pengurusan kewangan harian kita berbanding permainan "monopoly".

Ia menerapkan prinsip "cashflow" bulanan kita di mana

Pendapatan - Simpanan = Perbelanjaan

Simpanan boleh dipecahkan lagi kepada simpanan kecemasan, simpanan untuk pelaburan dan juga simpanan untuk kepuasan (beli "doodads").

Pendapatan pula boleh dihuraikan kepada pendapatan aktif (atau gaji) dan pendapatan pasif (kutipan sewa rumah, saham, amanah saham, "fixed deposit, dan sebagainya).

Perbelanjaan pula terdiri dari komitmen bulanan kita termasuklah bayaran pinjaman dan perbelanjaan tanggungan keluarga.

Paling menarik mengenai permainan ini ialah anda sendiri yang menentukan nilai atau peratusan untuk setiap simpanan, pendapatan dan perbelanjaan (komitmen hutang ke bank sahaja, lain-lain perbelanjaan sudah ditetapkan).

Sekiranya anda ingin bereksperimen menjadi seorang yang boros dan tiada simpanan, anda boleh mencubanya di dalam permainan ini. Siapa yang sesuai untuk bermain permainan ini? Sila klik sini untuk bacaan lanjut.

P/s: Jutaan terima kasih kepada bro hafizal aka juruukur di atas urusniaga tersebut :)


Urusan Belian Lot Tanah

Saya telah berurusan dengan seseorang untuk membeli tanah di negeri Selangor. Malangnya urusniaga tersebut terpaksa saya batalkan kerana sikap pemegang amanah (wakil tuan tanah) dan peguam yang pada saya tidak telus.

Oleh kerana saya adalah orang baru dan ini merupakan urusan yang pertama saya, saya terpaksa menebalkan muka untuk bertanya kepada peguam yang lain (free consultation) untuk memastikan saya tidak ditipu. Ternyata, setelah mengikut nasihat peguam tersebut, peguam yang berurusan dengan saya tidak mampu menjawab soalan saya dan memberi alasan kesihatannya yang kurang baik menyebabkan dia tidak mampu memberi jawapan yang terperinci dan tepat.

Yang paling mengecewakan saya ialah, peguam tersebut memang menyebelahi pemegang amanah tersebut walaupun saya sebagai pembeli yang membayar yuran perkhidmatannya. Disebabkan perkara ini, persoalan yang timbul dibenak fikiran saya ialah di mana kredibiliti dan sifat amanah peguam tersebut.

Di sini saya ingin berkongsi soalan-soalan yang perlu ditanya kepada mana-mana peguam yang menguruskan proses jual beli hartanah seperti yang dinasihatkan oleh peguam yang menjadi rujukan saya:

a. Proses terperinci (beserta anggaran masa) urusniaga jual beli dari mula sehingga pembeli mendapat geran.
b. Status tanah yang diniagakan mestilah sah dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk dijual. Peguam mesti memeriksa status tanah tersebut dengan pejabat tanah. Sekiranya ragu-ragu, pembeli boleh memeriksa sendiri di pejabat tanah daerah yang berkenaan dengan membawa bersama salinan geran tanah tersebut.
c. Bagi pemegang amanah, pastikan surat kuasa (atau "Power of Attorney") yang ditunjukkan adalah sah.

Selain dari soalan-soalan di atas, bakal pembeli berhak untuk mendapatkan salinan geran dan salinan kad pengenalan penjual sebaik sahaja selepas membayar deposit (juga disebut sebagai "booking fee") supaya boleh membuat pemeriksaan ke atas status tanah dan status bankrapsi penjual. Penjual yang diisytihar bankrap tidak boleh untuk menandatangani mana-mana perjanjian, maka sudah tentu urusniaga akan gagal.

Jangan gusar untuk bertanya soalan-soalan di atas dan meminta dokumen-dokumen yang berkenaan kerana pembeli sudah membayar yuran guaman dan pembeli memang berhak untuk mendapatkan semua di atas tanpa boleh dipersoalkan oleh penjual atau peguam.

P/S: Jutaan terima kasih kepada seorang peguam dari forum Bicarajutawan kerana telah memberi nasihat kepada saya.

Wednesday, January 14, 2009

Tentang....

Azam 1430 H/2009 M

Saya mencatatkan azam saya di sini sebagai peringatan untuk diri sendiri. Saya akan komen semula, InsyaAllah menjelang Januari 2009 nanti :)

1. Berazam untuk terus berbelanja secara bijak dengan dibantu oleh "Bajet Perbelanjaan Harian" dan "Pelan Matlamat Kewangan" saya. Untuk tahun 2008, boleh dikategorikan sebagai tahun belajar dalam menguruskan kewangan saya.

2. Berazam untuk terus menyimpan sekurang-kurangnya 10% dari gaji bersih saya pada setiap bulan ke dalam ASB.

3. Berazam untuk terus menulis di dalam blog ini. Tahun 2008 juga merupakan tahun belajar bagi saya untuk berblog. Tahun 2009 saya akan berusaha untuk terus memperbaiki mutu penulisan dan isi kandungan penulisan saya yang masih di tahap tadika.

4. Berazam untuk meneruskan perniagaan sambilan saya dan mengekalkan tahap di atas paras cemerlang ("benchmark" oleh saya sendiri). Ya, saya berniaga ketika di pejabat, tetapi ianya tidak mengganggu kerja-kerja yang patut diutamakan kerana saya bukan berniaga menggunakan air liur :)

5. Berazam untuk memiliki 2 biji rumah sewa menjelang Disember 2009. Wow, azam yang ini memang sangat tinggi berbanding kemampuan yang saya miliki sekarang, tetapi, InsyaAllah akan diusahakan. Tambahan pula yang ini saya target sebagai perkongsian dengan isteri. Buat masa ini (awal 2009), saya mempunyai rintangan yang perlu diselesaikan secepat mungkin supaya saya boleh mencapai target ini.

6. Berazam untuk menjana satu lagi pendapatan sampingan (pasif atau aktif). Mungkin saham (Bursa Malaysia) atau menjual insuran (saya berminat untuk mendekati insuran kereta) atau menjual barangan lelong (kereta?).

6. Berazam untuk menambah ilmu yang berkaitan dengan kerjaya saya. "On-the-job-training" :D

7. Berazam untuk menjadi suami dan bapa (bakal, insyaAllah) yang baik, Amin Ya Allah ("benchmark" oleh saya sendiri juga).

8. Berazam untuk memperbaiki amalan saya untuk bekalan akhirat. Yang ini tidak perlu dihuraikan lebih lanjut.

9. Berazam untuk mendapatkan perlindungan takaful untuk diri sendiri sebagai payung bagi keluarga saya :)


Perlindungan Takaful

Saya masih lagi tercari-cari pelan perlindungan takaful untuk diri sendiri sebagai payung bagi keluarga saya. Kriteria yang saya tetapkan termasuklah:

a. premium bawah RM100
b. perlindungan seperti insuran nyawa
c. ejen yang bertanggungjawab dan boleh layan tuntutan saya selayaknya sehingga selepas tamat kehidupan saya

Mana-mana ejen takaful yang boleh memenuhi kriteria di atas, atau sekurang-kurangnya boleh meyakinkan saya untuk mengambil pelan perlindungan syarikat yang diwakilinya boleh meninggalkan komen. Terima kasih.