Advert Board

Thursday, December 18, 2008

Perkara Penting Sebelum Anda...

"Pendapatan bulanan saya adalah sebanyak RM5000, tetapi saya masih bergelut dengan hutang."


"Pada awal bulan, saya akan menyimpan sebanyak RM500 di dalam ASB. Tetapi menjelang hujung bulan, saya terpaksa mengeluarkan sebanyak Rm400 untuk membiayai perbelanjaan bulanan saya."


"Saya fikir, dengan mempunyai pendapatan sampingan hasil jualan kad isian semula telefon bimbit sebanyak RM200 pada setiap bulan, saya mampu menyimpan sekurang-kurangnya Rm150 setiap bulan. Tetapi rupa-rupanya untuk menyimpan RM10 pun sukar."


Sebelum anda berniaga atau mencari pendapatan sampingan, anda perlu menguasai kemahiran menguruskan kewangan dahulu. Mengapa? Kerana adalah tidak berguna untuk mempunyai pendapatan yang tinggi sekiranya anda tidak mampu menguruskannya dengan baik.

Gelodak nafsu untuk berbelanja akan meningkat secara berkadar langsung dengan kenaikan pendapatan anda. Jadi, sekiranya anda tidak mampu mengawal nafsu anda, lebih baik anda membetulkan dahulu sikap anda ataupun anda akan gagal memanfaatkan sepenuhnya kenaikan pendapatan tersebut.

Menguruskan kewangan bukan bermaksud bertukar menjadi kedekut atau boros, tetapi mengawal setiap keluar/masuk wang anda untuk mendapatkan manfaat atau hasil yang optimum.

Wang anda pilihan anda, tetapi pilihan yang kurang bijak akan merugikan anda, dan juga orang lain yang terpaksa membantu anda yang sedang dalam kesusahan :)

Ini hanyalah pesanan khidmat masyarakat. Saya tidak mampu menasihatkan anda secara peribadi, tetapi rajin-rajin lah belek blog ini untuk mencari secebis ilmu untuk menguruskan kewangan anda. Perbincangan juga amat digalakkan, sila tinggalkan komen anda, terima kasih :D

Dividen dan Bonus (loyalty bonus) ASB Bagi Tahun 2008

Permodalan Nasional Berhad (PNB) sudah mengumumkan nilai agihan dividen dan bonus bagi tahun kewangan 2008.

Dividen = 7 sen atau 7%

Bonus (Loyalty Bonus) = 1.75 sen atau 1.75%

Wednesday, December 17, 2008

Kenapa Membazir?

Kadang-kadang, hujung bulan adalah waktu yang paling menyeksakan, walaupun kita mampu makan di restoran 5 bintang pada awal bulan (selepas gaji).


Kadang-kadang, kita tertanya-tanya ke mana hilangnya duit kita selepas membeli TV LCD 60" yang berharga RM20000.


Kadang-kadang, kita tidak mampu untuk memberikan walaupun RM50 untuk mak ayah di kampung, walaupun kita bergaji RM5000 sebulan.


Membazir

Saya mentakrifkan membazir apabila memenuhi salah satu kriteria di bawah (pendapat peribadi):
a. Kerap.
b. Berlebihan.
c. Sesuatu yang tidak diperlukan.
d. Melebihi bajet.
e. Melebihi kemampuan.
f. Untuk menunjuk-nunjuk.

Bukan membazir

Saya mentakrifkan kriteria-kriteria di bawah sebagai bukan membazir (pendapat peribadi):
a. Terkawal.
b. Berhemah.
c. Keperluan.
d. Tidak melebihi bajet.
e. Berkemampuan.
f. Sedekah/menderma/zakat.
g. Memberi wang bulanan kepada ibu bapa atau adik-beradik yang sedang belajar.

Perkara-Perkara Berkaitan

Semua aktiviti di dalam kehidupan seharian kita boleh bertukar menjadi membazir atau sebaliknya apabila memenuhi mana-mana kriteria di atas, sama ada untuk tujuan hiburan, ilmu, makanan, tempat tingal atau perlindungan. Anda sendiri yang menentukan hala tuju perbelanjaan anda; ke arah pembaziran atau tidak.

Tujuan Membazir

Saya tidak nampak sebarang faedah membazir. Setiap sen yang dibazirkan itu boleh disalurkan ke saluran yang lebih bagus seperti bersedekah atau menderma kepada yang memerlukan atau pun disimpan sebagai simpanan kecemasan. Terdapat 1001 faedah apabila kita dapat mengelakkan pembaziran. Jadi, kenapa membazir?

Monday, December 15, 2008

Malaysia, Demam, Raya Eidul Adha, Buntu

Malaysia

Alhamdulillah saya sudah berada di bumi Malaysia sejak 27 November 08. Saya berasa sangat gembira dan bersyukur dapat bersama keluarga semula setelah 3 bulan berjauhan :)

Demam

Ujian dari Allah SWT melanda saya lagi. Saya menghidapi demam, batuk dan selsema. Semoga Allah sentiasa memberkati saya dengan ujian-ujian dari-Nya, Amin ya Allah.

Hari Raya Eidul Adha

Alhamdulillah saya dapat menyambut hari raya Eidul Adha bersama keluarga, pertama kali bersama isteri dan keluarga mertua; tetapi tetap gembira meraikannya bersama ibu dan adik beradik tercinta.

Buntu

Blog ini terencat untuk hampir 3 minggu. Kebuntuan melanda di samping keadaan kesihatan yang menyukarkan saya untuk berfikir dan menulis. Alhamdulillah bisnes kecil-kecilan saya di blog ini berjalan dengan lancar. Rezeki yang Allah kurniakan, Alhamdulillah. Semoga Allah sentiasa memberkati saya dan keluarga tercinta, Amin ya Allah :)